Batu Kuning (Jed Kuning) di Gunung Lambak, Kluang

Orang dari China




Sejak beberapa bulan yang lepas, Gunung Lambak yang terletak di daerah Kluang menjadi tumpuan pedagang-pedagang batu berharga terutamanya dari negara Tembok Besar China, sanggup menempuh perjalanan ribuan kilometer daripada tanahair mereka ke Malaysia.

Batu berharga yang menjadi buruan pedagang daripada China itu dikenali dengan nama, "Batu Sabun (Soap Stone)", "Batu Kuning" atau "Tianhuang" di kalangan masyarakat negara Tembok Besar itu. Ia juga dikenali sebagai "Jed Kuning" yang membawa simbol kekayaan dan kesejahteraan kepada mereka yang memilikinya.

Batu ini amat bernilai di China, malah harganya adalah lebih kurang sama dengan emas kerana ia merupakan batuan yang paling sesuai dan berkualiti untuk dijadikan ukiran pelbagai bentuk objek tradisional kesukaan masyarakat Cina dan cop keluarga.

Harganya yang semakin melambung tinggi akhir-akhir ini berikutan tindakan kerajaan China menghentikan perlombongan batu itu dalam negara dan langkah itu turut diikuti oleh beberapa negara lain yang mempunyai deposit mineral bernilai itu seperti Vietnam dan Laos.

Carian di laman-laman web menunjukkan ukiran-ukiran objek tradisional masyarakat Cina menggunakan Batu Kuning telah pun bermula sejak Dinasti Maharaja Qing dan harga ukiran terbabit pada masa ini mampu mencecah harga ratusan ribu ringgit.

Menurut sumber-sumber pihak polis tempatan, pedagang-pedagang Batu Kuning daripada China bekerjasama dengan warga tempatan yang bertindak sebagai orang tengah di dalam usaha mereka untuk mendapatkan sumber asli yang bernilai tinggi itu.

"Orang tengah yang terdiri daripada warga Cina tempatan akan membeli batu-batu kuning ini daripada orang Asli yang menggali di beberapa lokasi di Gunung Lambak, sebelum bertindak menjualnya semula kepada pedagang batu terbabit daripada China," katanya.

Batu Kuning di dalam bentuk yang kasar berdasarkan kepada saiz dan kualiti boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Beberapa penggali orang Asli yang ditemui di Gunung Lambak memberitahu sejak pencarian Batu Kuning bermula sejak beberapa bulan lepas, pendapatan yang mereka perolehi adalah agak lumayan dan ia digunakan untuk membeli motosikal dan kereta terpakai.

"Adakalanya kerja menggali Batu Kuning ini tidak berhasil, tetapi kalau lokasi penggalian itu tepat, kami boleh mendapat puluhan ribu dalam masa satu bulan. Kesemua batu yang kami temui akan dijual pada orang tengah," kata "Pak Jeni" kepada wartawan Malaysia Gazette.

"Dalam seminggu saya boleh jual batu-batu kuning bernilai RM8,000," kata seorang penggali orang Asli dikenali "Rapi."

"Saya rasa dalam beberapa bulan ini, orang China telah keluar RM500,000 untuk beli batu. Batu ini kami kumpul dan hantar balik ke China guna laut," kata broker dikenali dengan nama "Ah Seng" kepada Malaysia Gazette.

Pentadbir Tanah Daerah Kluang Abdul Malik Ismail dilaporkan berkata Julai lepas, pedagang batu rakyat China terbabit memasuki negara ini menggunakan visa pelancong dan tinggal di beberapa buah hotel di sekitar Kluang.

Menurutnya, kegiatan ini didalangi oleh warga asing yang mengupah kira-kira 200 orang Asli tempatan dan daripada Endau-Rompin untuk menggali batu berharga itu di Gunung Lambak. Sumber: malaysiagazette.com

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar