Bolehkah Tidur Kaki Ke Arah Kiblat?

Informasi Islam

Tuntutan menghormati arah kiblat itu dapat dilihat dalam berbagai perkara. Antaranya ialah dalam perkara qadha hajat. Apabila kita hendak qadha hajat haram hukumnya menghadap atau membelakangi kiblat jika dalam keadaan terbuka seperti di gurun sahara iaitu padang pasir. Namun harus jika qadha hajat itu dalam keadaan berdinding. Sekurang-kurang dinding itu ialah tiga hasta tinggi dan tidak kurang tiga hasta jaraknya. Jika dalam keadaan sedemikian hukumnya adalah harus. Lebih lagi harus jika qadha hajat itu dalam tandas kerana sememangnya dalam keadaan tertutup.

Bagaimana pula hukum tidur dengan mengunjurkan kaki ke arah kiblat? Adakah tidur seperti ini termasuk dalam perkara tidak menghormati arah kiblat? Untuk menjawab persoalan ini, elok kita rujuk pandangan ulama mengenainya.

Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta’ala ada menerangkan bahawa salah satu cara tidur menghadap kiblat itu ialah seperti menghadapkan orang yang hampir mati ke arah kiblat iaitu dalam keadaan terlentang, muka dan dua tapak kakinya menghadap ke arah kiblat. Perkara ini jelas disebutkan dalam kitabnya Ihya ‘Ulumiddin dengan katanya:

Ertinya: “(Adab tidur yang) ke tujuh ialah (sunat) tidur menghadap kiblat. Menghadap kiblat itu ada dua cara : Salah satunya: (Seperti cara) menghadapkan orang yang hampir mati iaitu terlentang atas belakang (badannya), muka dan dua tapak kakinya menghadap ke arah kiblat. Kedua: (Seperti cara) menghadap (kiblat di dalam) lubang kubur iaitu baring secara mengiring dengan mukanya serta bahagian hadapan badannya ke arah (kiblat) ketika berbaring pada posisi sebelah kanan. (Kitab Ihya ‘Ulumiddin: 1/448)

Selain tidur, dalam perkara sembahyang, di dalam keadaan tertentu ketika sakit seseorang itu dibenarkan bersembahyang secara menelentang dan kedua kaki menghadap ke arah kiblat. Hal ini disebutkan oleh Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullahu Ta’ala dalam kitab Asna al-Mathalib:

Ertinya: “Jika dengan duduk itu dia mendapat kesusahan, (iaitu kesusahan yang sama) dirasainya (ketika dia bersembahyang) dengan cara berdiri, maka wajib sembahyang (dengan cara) berbaring atas rusuknya dengan wajah dan (sebelah) hadapan badannyamenghadap kiblat. Dan berbaring atas rusuk sebelah kanan adalah lebih afdhal. Dan makruh jika berbaring di atas rusuk sebelah kiri tanpa ada sebarang keuzuran sebagaimana ditetapkan dalam kitab al-Majmu’. Kemudian jika terdapat keuzuran untuk berbaring maka sembahyanglah dalam keadaan menelentang dan dua tapak kakinya mengarah ke kiblat, seperti halnya orang yang hampir mati apabila tidak dapat dibaringkan di atas rusuknya barulah dibaringkan secara menelentang. Dan (orang yang dibaringkan secara menelentang itu) kepalanya lebih tinggi dengan meninggikan bantalnya supaya menghadap wajahnya ke arah kiblat.” (Kitab Asna al-Mathalib: 1/148)

Sementara itu, menurut Syeikh Muhammad bin Shaleh al-‘Uthaimin Rahimahullahu Ta’ala apabila ditanya mengenai hukum tidur dengan mengunjurkan kaki ke arah kiblat, beliau memfatwakan dengan berkata:

Ertinya: “Tidak mengapa ke atas seseorang apabila dia tidur kedua kakinya menghala ke arah Ka’bah (kiblat). Bahkan ulama fiqh Rahimahumullahu Ta’ala berkata: “Sesungguhnya orang sakit yang tidak mampu berdiri dan tidak mampu duduk, (maka dia) bersembahyang dengan cara miring dan wajahnya menghadap ke arah kiblat dan jika tidak mampu juga maka (hendaklah) bersembahyang dengan cara terlentang dan kedua kakinya menghadap ke arah kiblat.” (Fatawa Ibnu al-‘Uthaimin: Soalan ke 1576)

Maka berdasarkan beberapa pandangan ulama di atas, dapatlah disimpulkan bahawa tidur menelentang dengan mengunjurkan kaki ke arah kiblat itu tidaklah mengapa bahkan tidak dikira berdosa. Sebab, tidur dalam keadaan mengunjur kaki ke arah kiblat itu sama dengan keadaan sembahyang orang yang sakit dan tidak mampu sembahyang dalam keadaan berdiri ataupun duduk. Diharuskan sembahyang miring atas rusuknya yang kanan ataupun dalam keadaan menelentang dengan wajah dan kedua kakinya menghadap ke arah kiblat.

WALLAHU’ALAM

Sumber: Pelita Brunei

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar