Bot TLDM Pulak Hilang



Kota Kinabalu, Sabah. Seorang pegawai dan enam anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkalan di Pangkalan TLDM Sepanggar dekat sini dilaporkan hilang ketika melakukan operasi tinjauan menggunakan sebuah bot tempur CB90 di sekitar perairan Pulau Mengalum, kira-kira 102 kilometer dari Labuan, hari ini.

Sumber keselamatan memberitahu, kesemua mereka dikatakan terputus hubungan pukul 10.20 pagi di perairan pulau terbabit selepas bergerak dari pangkalan berkenaan kira-kira pukul 5 pagi.

Katanya, kejadian berlaku ketika cuaca buruk dan pasukan keselamatan sedang berusaha mengesan mereka.

"Bot itu terputus hubungan dengan kapal KD Paus yang turut serta dalam operasi itu setelah kapal tersebut tiba di Pulau Mengalum. Kali terakhir perhubungan antara kedua-duanya adalah pada pukul 10.20 pagi. KD Paus yang diarah melakukan pencarian setakat ini masih gagal mengesan bot tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini mengesahkan kejadian terbabit.

"Salah seorang daripada tujuh yang hilang itu adalah pegawai. Kita mengharapkan mereka selamat," tambahnya.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar