Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016, Kembali Untuk Tahun Ketiga

Dengan tema "Dunia Drama Sebenar", Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) anjuran TV3 & TV9 kini kembali untuk tahun yang ketiga. DFKL masih mengekalkan penyertaan pertandingan drama pendek, pitching, ujibakat lakonan dan juga bengkel. Objektif utama DFKL diadakan ialah memberi peluang kepada orang ramai mengasah bakat mereka sekaligus berpeluang menimba ilmu bersama para panel berpengalaman dalam industri tanah air.

anjuran TV3 TV9

Peserta bengkel juga berpeluang untuk mengetahui sendiri perjalanan karyawan yangakan berkongsi pengalaman dan tip berguna mengenai selok belok lakonan bagi bengkel lakonan, asas dalam penerbitan drama melalui bengkel pengarahan, kelainan teknologi dan impak dunia animasi serta ketrampilan diri yang perlu dititik beratkan untuk menjadi seorang anak seni.Antara nama-nama besar yang bakal terlibat dalam DFKL 2016 ialah Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Ellie Suriaty, Ahmad Idham, Jinggo, Awal Ashari, Datin Sharifah Shawati dan ramai lagi. 

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, “ DFKL dianjurkan untuk kali yang ketiga setelah mendapat maklum balas yang positif dua tahun penganjurannya. Penyertaan dari tiga buah Sekolah Seni Malaysia untuk menyertai pertandingan drama pendek dan juga penyertaan pitching dari para pelajar IPTA/IPTS merupakan cabang baru untuk penyertaan tahun ini. Kami mensasarkan kepada semua golongan untuk turut sama terlibat menghasilkan sesuatu karya yang dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat. Selain penganjuran bengkel DFKL 2016 yang menghimpun 11 karyawan hebat, kami akan turut memfokuskan dengan pencarian bakat-bakat baharu dalam bidang lakonan. Lebih menarik lagi, bakat baru yang dicungkil ini akan menghiasi slot-slot drama di TV3 & TV9 sebagai muka baru yang dijangka akan mewarnai industri penyiaran.”

Makluman mengenai DFKL 2016 seperti di bawah:

Siri Jelajah DFKL 2016
Siri jelajah ini diadakan untuk merancakkan lagi DFKL 2016 dan memberi peluang kepada pelajar serta orang ramai untuk mengetahui program-program yang direncanakan pada festival ini.  Mereka juga boleh mendengar sendiri perkongsian ilmu oleh tetamu jemputan disamping beramah mesra dengan selebriti-selebriti yang akan turut memeriahkan lagi siri jelajah ini. Pengunjung juga boleh membuat pendaftaran awal untuk menyertai bengkel DFKL 2016.  Kami akan singgah ke Institut Pengajian Tinggi (IPTA) terpilih seperti berikut:

TARIKH
TEMPAT
MASA
8 ,9, 10 Disember 2016
UiTM Shah Alam
10 pagi – 5 petang
27 Januari 2016
UiTMLendu, Melaka
10 pagi – 5 petang
10 Februari 2016
UPM Serdang
10 pagi – 5 petang

Orang ramai juga turut berpeluang untuk menyertai kemeriahan siri jelajah DFKL 2016 dan menyertai ujibakat yang dijadualkan bakal berlangsung di tiga buah negeri seperti di bawah:

TARIKH
TEMPAT
MASA
16 Januari 2016
Kuala Lumpur
10 pagi – 10 malam
20 Januari 2016
Johor Bahru
10 pagi – 5 malam
6 Februari 2016
Kedah
10 pagi – 5 malam

Pencarian Bakat Baharu DFKL 2016
Orang ramai juga boleh menyertai sesi ujibakat mencari bakat-bakat baharu dalam dunia lakonan dan seterusnya mendapat peluang untuk muncul dalam drama-drama terbitan TV3 dan TV9 yang akan diadakan di siri jelajah  dan juga sepanjang dua hari bengkel DFKL 2016 berlangsung nanti. Anda sudah boleh mula berlatih dari sekarang dan jangan lupa untuk membawa profil dan dua keping gambar berukuran passport dan penuhsemasa menghadiri ujibakat nanti! Antara peserta yang telah dicungkil bakatnya melalui ujibakat DFKL ialah Raja Afiq yang bakal menjadi hero untuk slot Akasia berjudul Sayangku Kapten Mukriz.

Pertandingan Drama Pendek (Shorties) DFKL 2016

Bagi mereka yang ingin idea mereka dikenali dan bersiaran di TV3 dan TV9, pastikan anda menghantar penyertaan dan drama pendek hasil kreativiti anda ke laman sosial veedo iaitu www.veedo.my/dfkl bermula 15 Disember ini hingga 31 Januari 2016. Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai RM 10,000 untuk pemenang tempat pertama, RM 5,000 bagi tempat kedua dan RM 3,000 untuk tempat ketiga. Menariknya tahun ini, penyertaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu peringkat Sekolah (Sekolah Seni Malaysia)  dan Orang Awam. Ini dapat memberi peluang dan membuka ruang buat adik-adik yang mempunyai potensi dalam bidang penerbitan untuk mengetengahkan idea dan bakat mereka, selain menggilap bakat mereka dari usia yang muda lagi.

Pembentangan Idea (Pitching)
Anda mempunyai idea dan mahu idea anda direalisasikan? Hantarkan penyertaan anda ke dramabmpg@tv3.com.my dan jika idea anda mempunyai potensi untuk dijadikan drama ataupun telefilem, anda akan dijemput untuk hadir ke sesi saringan di bengkel DFKL 2016 untuk membuat pembentangan idea anda secara terperinci dihadapan penerbit drama. Sesi pembentangan idea ini turut dibuka penyertaannya kepada kolej-kolej terpilih, dimana pemenang akan menerima sijil dan juga trofi. Jika idea anda berjaya memikat hati pihak produksi, anda akan turut menerima wang tunai RM500 dan idea anda akan turut diterbitkan menjadi telefilem!.

Untuk maklumat lanjut mengenai dan pembelian tiket bengkel DFKL 2016 sila layari laman web rasmi www.dfkl.com.my. Layari juga laman web rasmi TV3 / TV9 di www.tv3.com.my / www.tv9.com.mydan laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube TV3Malaysia / TV9Malaysia untuk berita dan informasi terkini mengenai DFKL 2016.
 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar