Penjenayah Ragut dan Samun Lolos Dari Tahanan Polis di Paya Jaras

operasi mencari suspek berusia 34 tahun yang masih dalam keadaan bergari dan berbaju lokap berwarna jingga
Tahanan yang dipercayai terlibat dalam 29 kes ragut dan samun sekitar Klang Utara, Sungai Buloh dan Damansara Damai itu lolos dalam kawalan seorang anggota polis di dalam van sewaktu pegawai serta anggota lain mengesan rakan suspek di kediaman keluarganya.


Pihak polis sedang giat mengesan seorang OKT (orang kena tahan) yang melarikan diri sewaktu dalam tahanan polis di Paya Jaras, Sungai Buloh pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat, operasi mencari suspek dikenali sebagai Mohammed Firzal Azizan, 34 tahun yang masih dalam keadaan bergari dan berbaju lokap berwarna jingga itu melibatkan beberapa pasukan di sekitar kawasan berhampiran.

“Kita sedang menjalankan gerakan mengesan suspek. Gerakan mencari ini bukan melibatkan satu atau dua pasukan tetapi melibatkan pasukan daerah-daerah tempatan,” ujar beliau ketika dihubungi Astro Awani.

Tambah Abdul Samah, suspek yang masih dalam reman itu ditangkap untuk disiasat berkaitan satu kes namun siasatan sedang dijalankan ke atasnya bagi melihat penglibatannya dalam beberapa kes lain.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam tersebut, tahanan bersama seorang pegawai dan tiga anggota polis dibawa ke Paya Jaras untuk mengesan seorang lagi rakannya yang masih bebas. | Sumber Awani

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar