Salah Kedudukan Peta Melaka, Buku Teks Sejarah Tahun 6

Ia memaparkan kedudukan Melaka di bahagian pantai timur iaitu di atas negeri Kelantan. Perkara itu menjadi viral di laman sosial dan mengundang reaksi ramai terutama dalam kalangan ibu bapa.

Kementerian Pendidikan mengarahkan syarikat percetakan agar mencetak semula buku teks subjek sejarah bagi tahun enam kerana berlaku kesilapan pada kedudukan peta negeri Melaka.

Menteri Pendidikan

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata syarikat pencetakan tersebut juga perlu menanggung sendiri kos cetakan semula.

"Walaupun kesilapan itu membabitkan satu muka surat saja, tetapi syarikat pencetakan perlu mencetak semula buku berkenaan, mereka tidak boleh tampal muka surat yang salah itu.

"Kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu diperbetulkan agar tidak mengelirukan pelajar," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Kebangsaan 2015 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kandungan buku teks sejarah tersebut yang didapati salah memaparkan kedudukan negeri Melaka pada peta Semenanjung Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata Perhimpunan Agung Umno 2015 yang akan bermula pada 8 Disember depan akan menjadi platform terbaik untuk anggota parti menyuarakan pendapat dan buah fikiran berkaitan kerajaan.

"Perhimpunan ini cara anggota parti daripada pelbagai peringkat kepimpinan dan akar umbi untuk memanifestasikan kesetiaan mereka pada sebuah parti yang meneraju kerajaan.

"Setiap tahun kita berada dalam suasana baik dan harap tahun ini kita praktikkan amalan itu macam biasa," katanya. | Sumber Bernama

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar