Bermula Menangkap Ayam Jadikannya Juara Pecut

Kelincahan mengejar ayam di kampung halaman menjadi penanda bibit permulaan lahirnya seorang pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap selepas melakar sejarah memadam rekod 17 tahun acara 100 meter milik Watson Nyambek, di kejohanan sukan sekolah ASEAN 2015 di Brunei, November lalu.


Menurut ibunya, anak bongsunya itu sering menjadi harapan keluarga termasuk saudara-maranya berikutan ketangkasannya berlari dengan pantas dan berkebolehan untuk memastikan ayam masuk kedalam perangkap.

Rozinah Baba, 49 berkata, biarpun pada mulanya dia tidak mengizinkankan anaknya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Malaysia Tunku Mahkota Ismail di Johor berikutan tidak sanggup berjauhan dengan anak kesayangannya itu, namun kini Badrul telah membuktikan bahawa pemergiannya tidak sia-sia.

Sementara itu, gurunya Noraziah Kassim yang bertanggungjawab memperkenalkan Badrul dengan sukan olahraga ini berkata, anak didiknya itu merupakan seorang pelajar yang sangat berdisiplin.

Noraziah berkata, dia mula mengesan bakat Badrul ini ketika bertugas sebagai guru sukan olahraga di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, iaitu di sekolah sama Badrul menuntut seawal usia 9 tahun lagi.

Katanya, dia dapat merasakan Badrul berpotensi tinggi dan boleh pergi lebih jauh dengan bakat yang dimiliki sehingga dipilih menyertai program pembangunan sukan melalui majlis sukan sekolah-sekolah Malaysia.

Noraziah yang terus mendorong dan memantau Badrul walaupun telah melangkah ke sekolah menengah menyifatkan Badrul mempunyai disiplin yang tinggi sehingga tidak meminum ais untuk suatu tempoh yang lama berikutan enggan ingkar dengan arahan jurulatihnya.

Noraziah berkata, kejayaan anak didiknya itu membuktikan usahanya memujuk keluarga Badrul untuk menyertai olahraga tidak sia-sia dan berharap ia menjadi platform untuk anak muda itu terus berjaya dalam hidup dan masa hadapan yang cerah.

Badrul ketika ditemui dirumahnya di Kampung Batu Gajah Pasir, Merlimau, Melaka pada Khamis terkejut dan tidak menyangka kepulangannya turut disambut meriah oleh orang kampung selain keluarga terdekat.

Menjadikan Usain Bolt sebagai idola dalam karier yang baru diciptanya, Badrul berkata beliau pernah bermimpi menjadi pelari pecut terbaik dunia ketika masih di sekolah menengah itu dan bercita-cita untuk merealisasikannya.

Walaubagaimapun, beliau tidak akan mengenepikan pelajarannya di tingkatan enam yang sedang diduduki kerana sedar pelajaran amat penting selain bercita-cita untuk menjadi seorang Pegawai Polis apabila tamat belajar nanti. | Sumber Awani

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar