Bayi Baru Lahir Tertukar Dengan Orang Lain

Sepasang suami isteri berada dalam dilema selepas bayi mereka yang baru dilahirkan di pusat perubatan swasta di Bandar Darulaman, Jitra di sini, kelmarin tertukar dengan anak orang lain.

Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, dan isteri, Mahani Zakaria, 36, dimaklumkan perkara berkenaan menerusi panggilan telefon oleh jururawat pusat perubatan itu pada jam 8 malam kelmarin, selepas lebih lima jam bayi perempuan itu dibawa pulang ke rumahnya.


Guru agama itu dimaklumkan berlaku kesilapan hingga menyebabkan bayinya tertukar. Malah, tanda nama di kaki bayi itu tertera nama orang lain, bukannya nama isterinya. Mahani, pensyarah di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) di sini, melahirkan anak kelimanya jam 4.04 petang kelamrin selepas dua jam bayi perempuan pasangan dari Yan dilahirkan di bilik bersalin yang sama.

Walaupun pasangan itu sudah diserahkan bayi mereka yang sebenar jam 11 malam kelmarin, mereka masih tidak berpuas hati dan mahu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan kesahihan bayi masing-masing. Kini, kedua-dua bayi berkenaan bersama ibu masing-masing dimasukkan semula ke wad pusat perubatan itu sehingga keputusan ujian DNA diperoleh kira-kira empat hari lagi.


Nik Ahmad Sabri berkata, dia terkejut sebaik dimaklumkan perkara itu malam kelmarin dan reaksi sama ditunjukkan isterinya yang ketika itu baru selesai menyusu bayi berkenaan di rumah mereka di Kuarters Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) di sini.

"Sebaik dimaklumkan bayi kami tertukar, baharu kami perasan tanda nama di kaki bayi tertulis nama orang lain dan bukan nama isteri saya," katanya.

Berikutan itu, pasangan berkenaan bergegas ke pusat perubatan itu untuk mendapatkan penjelasan. Setiba mereka di pusat perubatan itu, pasangan dari Yan sudah berada di situ bersama seorang bayi perempuan. Katanya, pihak pusat perubatan memaklumkan kemungkinan berlaku kesilapan di bilik bersalin.

"Selepas berbincang dengan lembaga pengarah pusat perubatan itu, kami bersetuju melakukan ujian DNA untuk menentukan bayi itu benar-benar anak kami," katanya.

Nik Ahmad Sabri berkata, dia dan isteri tidak mengesyaki apa-apa dan terus pulang ke rumah selepas isteri serta bayi dibenarkan pulang jam 3 petang malah sudah menjelaskan kos rawatan.

"Selepas kejadian ini, isteri dan bayi saya dimasukkan semula ke pusat perubatan itu untuk tindakan lanjut," katanya. Beliau berkata, walaupun pengurusan pusat perubatan itu menghantar surat permohonan maaf atas kecuaian kakitangannya, mereka masih tidak berpuas hati sehingga ujian DNA dilakukan.

Nik Ahmad Sabri juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu mengenai kejadian itu, malah bercadang mengambil tindakan jika perkara berkenaan tidak diselesaikan segera kerana dia sekeluarga tertekan.

"Pihak pusat perubatan sudah menukar bayi berdasarkan tanda nama masing-masing tetapi saya tetap tidak berpuas hati kerana perkara ini bukan main-main dan membabitkan soal anak.

"Tujuan saya dedahkan perkara ini bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk pengajaran kepada pusat perubatan itu supaya berhati-hati supaya perkara itu tidak berlaku kepada orang lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. | Sumber BHarian

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar