Drama Magkano Ba Ang Pag-Ibig di TV3

Magkano Ba Ang Pag-ibig? yang bermaksud, Berapakah harga cinta? Sebuah telenovela yang telah pun ke udara bermula 4 Januari 2016 dalam slot drama antarabangsa, Telenovela pada jam 3 hingga 4 petang di TV3.

magkano

Sebuah drama bersiri terbitan GMA Network Inc, Filipina yang mengetengahkan tema cinta dan pengorbanan, Magkano Ba Ang Pag-ibig membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Heart Evangelista, Sid Lucero, Dominic Roco, Alessandra De Rossi, Isabel Oli, dan Katrina Halili.

Episod terkini

Sinopsis Magkano Ba Ang Pag-Ibig?

Bermula di sebuah pekan tua, San Sebastian, cerita ini berkisar tentang kepayahan seorang gadis bernama Eloisa Aguirre dalam memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarganya. Semurni niatnya itu, sebenarnya agak sukar buatnya kerana Eloisa tidak mempunyai pekerjaan yang tetap selain menternak khinzir di ladang kecil milik keluarganya.

Sedang Eloisa sibuk menguruskan ladang ternakan keluarganya itu, Eloisa bertemu dengan seorang profesor agrikultur, Lucio Aragon. Atas dasar minat mereka dalam bidang agrikultur yang mendalam, Eloisa dan Lucio menjadi kawan rapat, dan persahabatan itu berkembang menjadi percintaan.

Eloisa berasa kehidupannya dirahmati dengan rezeki yang ada serta kehadiran Lucio dalam hatinya. Namun, kebahagiaannya itu cumalah sementara apabila ayahnya, Andoy perlu menjalani pembedahan kaki kerana penyakit kencing manisnya yang semakin kronik. Pemikiran Eloisa semakin buntu tatkala memikirkan cara untuk memperoleh wang untuk pembedahan ayahnya itu. Ketika itulah, Eloisa bertemu dengan wanita terkaya di bandar itu, Dona Hilaria dengan harapan untuk mendapatkan bantuan.

Melihat keikhlasan Eloisa, Dona menawarkan pekerjaan di kilang miliknya sebagai balasan setelah Dona setuju untuk membiaya pembedahan kaki ayahnya. Tanpa berfikiran panjang, Eloisa menerima tawaran itu dan memberikan kesetiaan penuhnya kepada syarikat Dona Hilaria. Di sebalik kebaikan itu, Dona sebenarnya mahu mengahwinkan Eloisa dengan anaknya Bobby, seorang autism. Hal ini kerana, Dona merasakan hanyalah Eloisa yang layak mewarisi syarikatnya, bukan tiga menantunya yang lain Lualhati, Gigi, dan Margot.

Berbeza dengan tiga menantu Dona yang inginkan kekayaan, Eloisa percaya bahawa cintanya tidak boleh dibeli lalu menolak lamaran Dona. Dengan rasa tidak puas hati, Dona mengugut Eloisa dengan menghalaunya dan keluarganya dari bandar itu serta disuruh untuk langsaikan hutang perubatan ayahnya sekiranya Eloisa enggan mengahwini Bobby.

Kerana tertekan dengan keadaan di San Sebastian, Eloisa ke Manila dengan harapan mendapat bantuan Lucio. Setibanya Eloisa di Manila, harapan Eloisa hancur apabila melihat Lucio bermesraan dengan perempuan lain.

Adakah Eloisa akan berpatah balik untuk menerima tawaran Dona? Masihkah ada cinta Eloisa kepada Lucio? Sejauh manakah Eloisa sanggup berkorban demi keluarganya? Ikuti kehidupan Eloisa yang penuh berliku dalam telenovela “Magkano Ba Ang Pag-ibig” setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 3 petang di TV3.

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar