Kerajaan Selangor Patuh KKM Mengenai Vape

Sebarang keputusan berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri Selangor ini adalah tertakluk kepada arahan dan dasar semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Dr Daroyah Alwi berkata sehubungan itu, KKM digesa menggubal, mengkaji dan menyemak akta dan undang-undang yang diperuntukkan agar penguatkuasaan sepenuhnya terhadap akta-akta tersebut mampu dilaksanakan dengan berkesan.


"Kesemua akta yang terlibat dalam pelaksanaan isu vape ini seperti Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 adalah di bawah bidang kuasa KKM, ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Daroyah berkata kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak 1 Jan lepas turut mengambil langkah menangguhkan pembaharuan dan permohonan lesen penjualan vape di negeri itu sehingga keputusan sama ada ia diharamkan atau sebaliknya diumumkan.

"Setakat ini, 69 lesen sudah dikeluarkan kepada pengusaha vape yang mana 30 daripadanya merupakan lesen sementara.

"Selain itu, kami turut mewartakan semua kawasan larangan merokok di Selangor sebagai kawasan larangan vape, antaranya premis kerajaan, hospital, institusi pendidikan, kawasan ibadat, taman permainan dan rekreasi serta kawasan rawat dan rehat (R&R)," katanya. | Sumber Awani

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar