Minyak mentah mungkin jatuh ke USD30 setong

MIDF Research tidak menolak kemungkinan harga minyak mentah susut ke bawah paras AS$30 setong, namun perkara itu dijangka tidak berkekalan untuk tempoh yang lama.

Harga minyak mentah global yang pada awalnya dijangka berlegar antara AS$40-AS$50 setong pada tahun ini, kini dilihat berpotensi untuk susut ke bawah paras AS$30 setong berikutan situasi lebihan ketara bekalan yang berterusan.


Faktor utama yang dibimbangi menjadi pendorong kejatuhan ke paras sama seperti yang berlaku pada akhir 2003 itu adalah kelemahan berterusan ekonomi China, yang mana menjadi pengguna minyak mentah kedua terbesar dunia.

Semalam, harga minyak mentah yang didagangkan di Amerika Syarikat iaitu West Texas Intermediate (WTI) susut ke paras terendah AS$32.10 (RM141.01) setong, manakala minyak mentah yang didagangkan di United Kingdom (UK), Brent North Sea, menjunam ke paras AS$32.16 (RM141.27) setong, terendah sejak 2014.

"Namun begitu, sebarang paras di bawah AS$30 setong akan menyebabkan penurunan bekalan dalam pasaran minyak. Ia kerana sebahagian besar pengeluar tidak berupaya menampung kos operasi pada harga sedemikian.

"Pada paras itu (bawah AS$30 setong), ia mungkin berlaku sementara, sebelum ia melantun semula ekoran penurunan bekalan," kata MIDF Research dalam nota penyelidikannya.

Harga komoditi utama dunia itu menjunam kelmarin ekoran gelombang jualan besar-besaran selepas bank pusat China, People's Bank of China, membuat pelarasan terbesar sejak Ogos lalu pada mata wangnya, yuan.

China menggunakan 12 peratus minyak mentah dunia, kedua terbesar di belakang Amerika Syarikat (AS). Selain daripada penurunan permintaan China, pasaran juga dijangka dilimpahi bekalan minyak mentah daripada Iran, selepas pengurangan sekatan ke atasnya, ekoran pematuhan program nuklear, yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Situasi harga minyak mentah yang ketara rendah seperti yang berlaku kini dijangka memberi kesan negatif kepada negara pengeluar minyak mentah global termasuk negara anggota OPEC dan serta negara bukan anggota seperti Venezuela, Brazil, Russia dan Malaysia.

Lazimnya, ketegangan politik yang berlaku membabitkan negara pengeluar minyak mentah akan menyebabkan harga komoditi itu meningkat. Namun perkara itu tidak berlaku meskipun sejak beberapa hari lalu, konflik Arab Saudi dan Iran semakin memuncak. Iran dan Arab Saudi mengeluarkan 25 peratus bekalan minyak dunia.

Peniaga minyak mentah global berpendapat, risiko kenaikan harga berikutan ketegangan geopolitik sudah lama 'hilang' ekoran berita potensi lambakan bekalan daripada sumber minyak syal di Amerika Syarikat dan kedegilan OPEC untuk menurunkan bekalan. | Sumber BHarian

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar