Rancangan Seiras Seirama Misha Omar dan arwah Pak Yus semalam

Terlibat dalam program terbaru siaran Astro Ria dan Astro Ria HD, Seiras Seirama, penyanyi Misha Omar berkongsi rasa terkejut apabila mendapat tahu ada pihak yang meniru cara nyanyian dan gaya persembahannya.

Rancangan ini merupakan sebuah pertandingan nyanyian yang mencari peserta dengan suara persis penyanyi popular tanah air.


“Pada mulanya, saya rasa sangsi. Siapa yang nak datang sesi ujibakat dan minat untuk menyanyikan lagu saya? Adakah ada individu yang mahu meniru cara dan gaya nyanyian saya? Sewaktu ujibakat dijalankan, saya tiada di situ.

“Tetapi sewaktu rakaman program tersebut, saya sangat terkejut kerana empat peserta yang terpilih mempunyai suara seperti saya. Gaya mereka juga hampir seperti saya,” kata Misha kepada Astro Gempak.

Walaupun pertandingan tersebut mencari peserta yang ‘meniru’ gaya Misha, penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Halaman Cinta’ itu merasakan perkara tersebut sebagai satu penghargaan.

“Saya rasakan kerja keras selama ini berbaloi kerana ada pihak yang betul-betul memerhatikan dan menghayati gaya nyanyian saya.

“Saya rasa perkara itu sangat manis. Saya rasa seronok, bangga dan bersyukur kerana mereka sangat menghargai kehadiran saya dalam industri hiburan tempatan,” katanya lagi.

Selain Misha, penyanyi popular seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Ziana Zain, Mas Idayu, Faizal Tahir dan Hafiz Suip turut terlibat dalam pertandingan ini.

Diacarakan oleh pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi, program Seiras Seirama bakal bersiaran selama lapan episod dan menampilkan seorang ikon untuk setiap episod.

Jangan lupa temujanji anda untuk menyaksikan program Seiras Seirama yang akan menemui penonton pada setiap Ahad, jam 9.00 malam bermula 20 Disember 2015 di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). | Sumber Astro Gempak

Video Seiras Seirama Misha Omar dan arwah Pak Yus semalam

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar