40 Minit Terkunci Dalam Kereta

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terperangkap kira-kira 40 minit dalam kereta ibunya di tempat parkir sebuah pasar raya di Bayan Baru, Georgetown semalam.

terkunci

Maisarah Dhia Ameera Mohd Azlan Shah yang sedang tidur dikatakan terkunci dalam kereta itu apabila ibunya keluar untuk ke pasar raya berkenaan.

Kereta Proton Waja yang dimatikan enjin itu dikatakan terkunci secara tiba-tiba dan ibu kanak-kanak berkenaan mendapati kunci tertinggal dalam kereta selepas kembali ke kenderaan itu apabila penggeranya berbunyi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru Zainol Mat Isa berkata anggota bomba dan penyelamat yang menerima maklumat kejadian pada 11.59 pagi, terpaksa memecahkan cermin tingkap bahagian pemandu untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

"Kami berusaha membuka cermin tingkap kereta itu secara manual tetapi gagal menyebabkan kami terpaksa memecahkannya. Kanak-kanak itu tidak cedera kecuali berpeluh kerana kepanasan," katanya ketika dihubungi di sini.

Ibu kanak-kanak itu, Hanim Hashim, 32, ketika dihubungi berkata beliau ke pasar raya itu untuk mengambil barang daripada kawannya dan meninggalkan anaknya yang sedang tidur di tempat duduk penumpang belakang.

"Saya minta tolong orang ramai di situ tapi bila tak dapat buka pintu kereta, mereka telefon bomba. Anak saya yang terkejut, menangis sehingga dia diselamatkan," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar