XOLA Terkilan Tersingkir Awal

Minggu keempat turut menyaksikan Abam Bocey, Yus Enjen dan Wan Xola kurang sihat. Mereka terus beraksi seperti biasa, namun agak malang buat Wan kerana Xola tersingkir selepas hanya menerima dua Ha dan mendapat undian terendah.


Xola yang turut diang­gotai One dan Chot mengakui terkilan dan kecewa dengan penyingkiran itu.

“Persembahan kami tak jadi seperti yang dirancang. Ada yang tergantung hingga peminat tak faham. Kami dah buat yang terbaik setiap minggu, tetapi pelik apabila tersingkir.

“Kalau dilihat, ada lagi peserta lebih lemah dan Xola antara yang konsisten setiap minggu. Ramai peminat menyuarakan rasa tidak puas hati di laman sosial apabila Xola tersingkir,” kata One.

Wan yang menghadapi masalah tonsil berkata, dia setuju beraksi pada malam itu untuk memberi semangat kepada dua rakannya.

“Saya dibenarkan keluar hospital dan ini peluang untuk saya beraksi. Mulanya One dan Chot buat sketsa lain dan kemudian tukar jalan cerita pula,” katanya.

Mengulas persembahan malam itu, Ketua Saluran dan Kandungan Komedi Astro Warna, Bob Azrai Kamaruddin berkata, tema yang dipilih agar sukar, tetapi peserta menggunakan kreativiti terbaik dalam persembahan yang ditampilkan.

“Tema ini lebih mencabar tapi mereka berjaya mengetengahkan idea yang baik dan kelakar. Selain berhibur, ada juga pengajaran yang dapat diambil dan ini sekali gus membuatkan orang hormat dengan pelawak kita,” katanya.

Menurutnya lagi, Xola terpaksa dikeluarkan minggu ini kerana persembahan yang agak mengecewakan serta menerima undian terendah.

“Penyingkiran mereka dinilai dari sudut persembahan dan kami tak lihat masalah kesihatan menghalang Wan gagal beraksi dengan baik.

“Kami memberikan pilihan kepada Wan dan Abam untuk beraksi atau sebaliknya,” katanya.

Bagi Najip pula, dia melihat pertandingan sebenar bermula pada minggu ini dan teruja kerana setiap peserta berusaha meningkatkan prestasi persembahan masing-masing. Sementara itu, Nora mengakui memberikan Ha tertinggi kepada Bocey kerana terhibur dengan persembahan Bocey.

“Bocey sentiasa memberikan persembahan terbaik sejak saya jadi juri MLM 2013 lagi. Mereka layak menerima lima Ha,” katanya.

Persaingan minggu keempat MLM 2016 me­nyaksikan Bocey menduduki tangga teratas de­ngan undian 70.41 peratus diikuti Reza (67.64), Joras (66.40), LOL (65.52) dan Enjen (57.98).

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar