Harga Mitsubishi Outlander RM167k sebelum 31 Mei

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) Sdn Bhd, pengedar kenderaan Mitsubishi di negara ini, optimis mampu mencapai sasaran 12,000 unit jualan bagi tahun kewangan antara April 2016 sehingga Mac 2017.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yang Won-Chul berkata, biarpun ekonomi dilihat perlahan ketika ini, pihaknya yakin mencapai sasaran itu berbanding 10,200 unit jualan pada tahun kewangan sebelumnya.

Menurutnya, ini kerana MMM menawarkan produk yang interaktif serta bernilai untuk wang menerusi model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, Mitsubishi ASX, trak pikap, Mitsubishi Triton dan yang terbaru SUV Mitsubishi Outlander.

“Model baharu ini akan menyumbang 13 peratus jualan MMM dengan sasaran jualan mencecah 1,300 unit pada tahun kewangan 2016.

“Model itu dijadual tiba di bilik pameran Mitsubishi di seluruh negara pada April ini dan pelanggan boleh membuat tempahan bermula Jumaat lalu,” katanya pada majlis mempertontonkan Mitsubishi Outlander, baru-baru ini.


SUV tujuh tempat duduk diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu, dijanakan enjin 2.4 liter Mivec yang menghasilkan 167 PS dengan tork setinggi 222 Nm.

Ia hanya ditawarkan dengan varian pacuan empat roda (4WD) sahaja yang turut dilengkapi ciri premium membabitkan bumbung matahari, lampu hadapan LED bersama lampu siang (DRL) serta rim aloi 18 inci.


Mitsubishi Outlander hadir tiga pilihan warna membabitkan merah, putih dan kelabu serta direka dengan konsep Pelindung Dinamik pada bahagian hadapan selain mempunyai ruang kargo yang luas berkapasiti 1,608 liter.

Ia didatangkan dengan harga pengenalan secara eksklusif pada RM166,720 atas jalan bagi kenderaan yang ditempah dan didaftarkan sebelum 31 Mei ini. | HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar