Nadiya Nisaa kongsi kegembiraan

“Usia kandungan saya baru melepasi tiga bulan. Apabila anak sulung, Omar berusia lima tahun, kami memang mahu tambah zuriat.

Tiada kata-kata dapat digambarkan pelakon popular, Nadiya Nisaa, 31, melainkan rasa bersyukur dan gembira apabila dia disahkan hamil anak kedua.

Menurut Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, khabar gembira itu diketahui selepas dia dan suami, Saiful Azman Mohd Kassim pulang bercuti dari Jepun, tahun lalu.

“Ketika Omar berusia dua tahun lagi, sudah ramai bertanya. Mungkin ketika itu belum ada rezeki. Apatah lagi saya sibuk dengan penggambaran filem,” katanya.

Berkongsi mengenai kehamilan keduanya, pelakon filem Cun ini mengalami alahan yang teruk.

“Ketika hamil anak sulung saya tidak mengalami alahan, tetapi kali ini agak teruk. Mungkin saya terlalu kuat bekerja.

“Memandangkan usia kandungan masih baru, saya kena berhati-hati dan banyak berehat di rumah,” katanya.

Meskipun badannya terasa lesu, Nadiya masih menjayakan drama Aku Bukan Bimbo (ABB) yang kini rancak bersiaran di Astro Ria.

Selain itu, duia baru sahaja selesai penggambaran telefilem raya terbitan RTM, Kecoh Kecoh Raya.

“Ketika berlakon dalam drama ABB, baru dapat tahu saya hamil. Mulanya saya tidak mahu berkongsi lagi berita gembira itu tetapi memikirkan soal keselamatan saya maklumkan juga kepada produksi.

“Sewaktu menjalani penggambaran di Korea pada Januari lalu, risau juga. Selepas mendapat nasihat doktor baru saya berani dan yakin.

“Bukan apa, ini pengalaman pertama saya berlakon ketika hamil,” katanya.


Menangis kesejukan
Menjayakan penggambaran drama ABB dalam cuaca sejuk sehingga mencecah suhu negatif 15 darjah Celsius satu pengalaman luar biasa buat Nadiya. Meskipun kesejukan, dia yang melakonkan watak El Suraya tetap meneruskan tanggungjawabnya kerana tidak mahu menyusahkan produksi dan pelakon lain.

“Ketika berada di Pulau Nami, saya masih okey tetapi di Seoul suhu semakin sejuk. Walaupun sudah bawa kelengkapan mencukupi, saya tak tahan apatah lagi kebanyakan babak dilakukan di luar.

“Pada hari terakhir penggambaran, badan saya kebas. Terasa seperti darah tidak mengalir dalam badan membuatkan saya hampir pitam.

“Saya cuba bertahan tetapi tidak boleh juga. Akhirnya saya menangis. Selepas itu baru badan kembali okey,” katanya yang berada di Korea selama 10 hari.

Sambung Nadiya lagi, disebabkan berlakon dalam drama itu rakan mengejeknya ‘bimbo’.

“Peminat tak ada pula ejek saya bimbo, cuma mereka tegur penampilan saya yang bertudung.

“Rakan artis yang suka mengusik dan panggil saya ‘bimbo’. Tak sangka pula mereka menonton drama ini,” katanya.

Kongsi Nadiya lagi, berlakon di samping Shaheizy Sam membangkitkan perasaan sama seperti dia bergandingan dengan Aaron Aziz dalam drama Adam & Hawa.

“Saya sedar Sam bintang popular dan mempunyai ramai peminat. Jadi, apabila berlakon dengannya, saya perlu fikir reaksi peminatnya.

“Sam sangat profesional dan banyak membantu saya di lokasi. Sebelum penggambaran bermula kami akan berbincang terlebih dahulu,” katanya.

Sumber HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar