Zara Zya Mengacara Diari Kilauan Emas Otai

"Cuma, saya tidak menyangka akan diberi kesempatan menceburi bidang pengacaraan pula. Bersama program terbabit, dalam seminggu saya akan memberikan komitmen selama tiga hari untuk diari, raptai dan siaran langsung.

Selepas namanya semakin kukuh di arena lakonan, pelakon Cinta Hati Abah, Zara Zya, 30, mencuba bakatnya dalam bidang pengacaraan pula. Sebagai percubaan pertama, Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 itu menerima tawaran mengendalikan program diari Kilauan Emas Otai.

Zara

Mengumumkan perkara itu di laman Instagramnya, Zara mengaku beliau teruja dan gembira apabila diberikan kepercayaan menjadi hos rancangan berkenaan. Pada masa sama, beliau tidak mampu menyembunyikan perasaan gementar untuk memikul amanah sebagai pengacara buat julung kalinya.

Namun, atas dasar ingin mencabar diri, wanita terbabit melihat peluang itu sebagai ruang untuknya mempelbagaikan lagi bakat seni dimiliki. Zara memberitahu, beliau menerima tawaran berkenaan sejak sebulan lalu dan akan menggalas tugas terbabit selama tujuh minggu.

"Alhamdulillah, tahun ini saya memang tidak menang tangan. Sejak awal hinggalah ke hujung tahun ini, nampaknya rezeki saya agak baik dalam bidang seni.

"Dalam kegembiraan mencuba bidang baharu, saya sebenarnya agak risau menunggu maklum balas orang ramai terhadap gaya pengacaraan saya. Maklumlah, selama ini saya hanya berlakon," katanya yang bersedia untuk menerima kritikan membina daripada peminat.

Menyentuh soal lakonan, Zara ketika ini sedang melunaskan baki penggambaran drama, Duda Terlajak Laris, di sisi pelakon Idris Khan untuk siaran TV3.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar