Kehidupan baru Fasha Sandha

Fasha

“Perceraian bukan penamat segala-galanya. Saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana Allah sudah mengatur yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.”

Tempoh 11 tahun berkawan dan kemudian berkahwin dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai, tidak sedikit pun membuatkan pelakon, Fasha Sandha, 32, berasa serik.

Malah, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan tetap bersyukur kerana dikurniakan sepasang cahaya mata sepanjang tempoh empat tahun berkahwin.

“Tiada istilah serik menerusi perkahwinan lalu, malah saya bersyukur dikurniakan dua anak yang comel. Cuma, saya dapat belajar sesuatu daripada apa yang berlaku,” katanya.

Sambung Fasha, paling penting dalam sesebuah perhubungan atau perkahwinan adalah restu daripada keluarga.

“Ketika mula-mula berkahwin saya beranggapan boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik tanpa ada restu, tetapi sebenarnya tidak.

“Apa saya boleh katakan, rumah tangga yang dibina diuji dengan pelbagai dugaan. Saya melalui perkara ini, jadi saya boleh cakap,” katanya.

Ditanya sama ada masih wujud perasaan sayang dan cinta terhadap bekas suaminya itu, Fasha enggan mengulas kerana ia terlalu bersifat peribadi.

Fasha berkata, dia tidak mahu sebarang jawapan yang keluar daripada mulutnya disalah tafsir.

Terdahulu, bekas suami Fasha memberikan ucapan sempena ulang tahun ke-32 pelakon drama Chinta ini kemudian dimuat naik semula Fasha di laman Instagram miliknya.

“Memang saya terkejut apabila mendapat ucapan itu. Sehinggakan ia mendapat lebih 30,000 ‘likes’.

“Saya yakin peminat sentiasa mendoakan yang terbaik buat kami, tetapi buat masa ini solo adalah lebih baik dan tenang.

“Menerusi ucapan itu, saya tidak fikir dia mempunyai niat lain selain tanda penghargaan kepada saya sebagai ibu kepada anak-anaknya. Tidak lebih daripada itu,” katanya.

Dalam waktu sama, Fasha mengakui Jejai turut menghantar ucapan sama menerusi medium lain seperti perkhidmatan WhatsApp dan menghubunginya.

Berkongsi mengenai kehidupannya dengan kedua-dua anaknya, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemaima, Fasha memberitahu dia mendapat hak penjagaan penuh.

“Memandangkan kedua-dua anak masih kecil, jadi mereka tidak faham. Alhamdulillah, saya masih boleh mengurus dan mengawal mereka. Apatah lagi mereka memang rapat dengan saya.

“Ada ketika bekas suami datang menjenguk anak, tetapi saya tetapkan waktu dan mengikut kesesuaian masa saya.

“Kami masih baik atas dasar anak-anak. Tambahan pula, dia tetap bapa kepada anak-anak saya,” katanya.

Diusik sama ada pintu hatinya sudah diketuk mana-mana lelaki selepas bercerai, Fasha sekali lagi selesa untuk tidak menjawab persoalan itu.

“Maafkan saya, ‘no comment’,” katanya ringkas.

Rezeki Tak Putus

Dari satu sudut lain, Fasha bersyukur apabila rezeki­nya dalam bidang seni tidak pernah putus.

“Selepas tamat penggambaran drama Tentang Hati 2, saya berlakon pula dalam drama Bibik Bibik Ku. Selepas ini saya terbabit pula dalam penggambaran drama 100 episod berjudul Laloba.

“Alhamdulillah, jadual kerja saya padat sehingga hujung tahun. Saya pun pelik dan tertanya-tanya kenapa selepas bercerai baru banyak tawaran berlakon. Apa pun, saya anggap ini semua rezeki anak-anak,” katanya.

Selain itu, Fasha juga baru dilantik menjadi duta minyak wangi Fasha Sandha by D’Haja.

“Tawaran ini diterima lima bulan lalu. Mulanya saya bertanya, sama ada minyak wangi berkenaan wangi atau tidak.

“Bukan apa, saya lebih gemarkan bauan seperti Miracle by Lancome. Tidak sangka pula minyak wangi ini mereka buatkan khas untuk saya,” katanya yang mengikat kontrak selama setahun.

Menurut Fasha, dia turut menyumbang idea rekaan botol minyak wangi itu.

Berkenaan bayaran yang diterima sebagai duta, Fasha cuma berkongsi dia dibayar dengan jumlah yang sangat tinggi.

Menariknya, minyak wangi ini sudah mendapat tempahan awal sebanyak 20,000 botol meskipun belum dilancarkan secara rasmi.

Fasha turut berkongsi rahsia mendapatkan bentuk tubuh langsing seperti sekarang adalah dengan menyertai sukan Muay Thai.

“Saya terbabit dalam sukan ini sejak dua bulan lalu. Saya menyasarkan untuk mendapat berat badan asal iaitu 50 kilogram.

“Ramai tanya kenapa sukan ini? Sebabnya mudah untuk saya lakukan apabila terbabit dalam mana-mana drama yang memerlukan adegan aksi,” katanya.

Sumber HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar