Konsert May Vs XPDC di JB 1 Mei ini

Konsert May vs XPDC: Rentap Kasi Sentap yang akan berlangsung di tempat letak kereta Plaza Angsana, Johor Bahru, pada 30 April depan ditunda kepada 1 Mei.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM50 (biasa), RM100 (Rock Zone) dan RM700 (VIP).


Penganjurnya, ARD Management, menganjakkan tarikh acara hiburan itu berikutan pertembungan dengan perlawanan bola sepak antara pasukan Johor dan Kedah.

"Memang benar konsert itu ditunda sehari daripada tarikh asal kerana pada malam 30 April itu turut berlangsung perlawanan bola sepak antara Johor dan Kedah," kata Pengarah syarikat berkenaan, Ardiana Andi Mahmud, ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai penganjurannya yang dikatakan turut berdepan beberapa masalah lain seperti seorang daripada anggota kumpulan yang terbabit dalam konsert berkenaan berada dalam tahanan pihak polis, akibat penyalahgunaan dadah, seperti diberitahu sumber kepada BH Online, beliau mengaku tidak pasti mengenai hal.

"Berhubung dakwaan seorang ahli kumpulan yang masih berada dalam tahanan polis, saya tak pasti akan hal itu dan tidak mahu mengulas mengenainya," katanya.

Selain kes penahanan anggota kumpulan terbabit, sumber turut memberitahu, penganjur juga kini menghadapi masalah menyelesaikan isu pemberian kontrak kepada dua kumpulan XPDC yang berpecah.

Sekali lagi enggan mengulas mengenai perkara terbabit, sebaliknya beliau menjelaskan semuanya masih pada peringkat perbincangan.

Pihaknya juga kini merancang untuk mengadakan sidang media bagi menjawab segala persoalan berbangkit.

"Siapa yang akan terbabit dalam konsert itu akan dijawab pada sidang media yang dijangka diadakan di ibu negara pada 20 April ini," katanya ketika dihubungi di pejabatnya di Johor Bahru.

Beliau menambah, apa pun yang berlaku, konsert gergasi dua kumpulan rock berpengaruh itu tetap diteruskan pada 1 Mei depan.

"Saya berharap peminat tidak perlu risau kerana konsert ini tetap diteruskan seperti dirancang. Sehingga kini tiket untuk menyaksikan konsert May vs XPDC: Rentap Kasi Sentap sudah terjual sebanyak 40 peratus," katanya.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar