Misha Omar di Minggu Setiausaha

“Saya sudah terlalu lama tidak membuat persembahan hingga membawa lima pasang baju, tetapi tidak tahu yang mana satu nak pakai.

Menjiwai setiap lagu didendangkan dalam keadaan dirinya berbadan dua, Misha Omar berjaya membuat mata penonton tidak ‘beralih arah’ malah terpaku di tempat duduk masing-masing menonton persembahannya sempena Minggu Setiausaha di sebuah hotel di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Misha Omar

Dengan nada suaranya yang tinggi dan mersik, ternyata aura penyanyi itu masih menyengat apabila peminat begitu teruja untuk mendekatinya.

Walaupun tubuh agak berisi kerana hamil anak sulung tidak menghalang Misha membuat persembahan dengan penuh yakin di depan lebih 250 tetamu dalam kalangan syarikat korporat, agensi swasta dan kerajaan.

“Saya rasa serba tak kena. Saya rasakan diri tidak cantik dan sedikit gemuruh mungkin kerana keadaan diri yang berbadan dua,” katanya.

Isteri kepada juruterbang Firos Ezzwan Rosly ini sudah mempunyai dua anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4.

Dalam persembahan itu, Misha mendendangkan semua lima lagu popularnya walaupun sesekali kelihatan menghela nafas panjang dan duduk di kerusi ketika berinteraksi dengan peminat.

Misha yang mengenakan gaun hitam labuh dibaluti kardigan biru gelap juga ternyata bijak mengawal penonton yang semakin ‘menggila’ di tempat duduk masing-masing apabila setiap lagu menerima tepukan gemuruh peminatnya.

Penyanyi berusia 34 tahun ini memulakan persembahan dengan rangkaian lagu popular era 1960-an iaitu Jelingan Manja dan Bunyi Gitar sebelum menyampaikan lagu ‘berhantunya’ Pulangkan daripada filem Pontianak Harum Sundal Malam.

Bagi lagu kedua, Misha yang berambut pendek paras tengkuk mengalunkan lagu digemari arwah bapanya, Omar Ismail daripada kumpulan The Real Thing berjudul You To Me Are Everything yang popular pada 1976.

“Arwah abah suka lagu ini dan setiap kali kami keluar bersama terutama ketika memandu, lagu itulah juga arwah abah selalu nyanyi dan saya tidak pernah jemu mendengarnya sehingga sebati dengan jiwa saya.

“Sebagai tanda kenangan, saya akan menyampaikan lagu ini pada setiap kali mengadakan persembahan,” katanya.

Lagu ketiga dendangan Misha, Cinta Adam dan Hawa yang turut berada dalam carta Anugerah Juara Lagu 2009, menjadikan dewan sunyi dan terpaku dengan lontaran suaranya yang tinggi dan nyaring.

“Susah juga sebenarnya nak nyanyikan lagu nada tinggi ini lebih-lebih lagi dalam keadaan diri mangandung,” katanya jelas gembira berkongsi cerita mengenai kariernya sepanjang 14 tahun dalam bidang seni suara.

Sebagai penghargaan kepada wanita dan menyelami isi hati golongan itu yang terlalu banyak berkorban sama ada dalam karier atau rumahtangga, Misha menyampaikam lagu Aku Wanita Biasa sambil turun menemui peminatnya di meja makan.

Tidak lengkap persembahan penyanyi jika tidak menjemput peminat naik ke pentas untuk bermesra.

Dengan lagu irama dangdut berjudul Kopi Dangdut dendangan asal Fahmi Shahab, Misha mempelawa lima peminatnya menyanyi dan menari bersamanya.

Sikap ‘sporting’ peminat menjadikan dewan semakin riuh apatah lagi Misha berjaya mengawal pentas dengan bijak sekali.

Mengakhiri persembahan dengan lagu hit yang turut meledakkan namanya dalam persada seni tanah air, Bunga-Bunga Cinta, Misha mengakui ibunya, Zainab Mat meletakkan tempoh tiga tahun saja kepadanya untuk menceburi bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi semua pahit manis jerih perih dan berjaya mempertahankan populariti sehingga ke hari ini,” katanya.


Tidak ada alahan teruk

Dalam pada itu, Misha turut terharu apabila ada peminat yang sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk menonton persembahannya itu.

Misha ketika ditemui berkata, kegiatan seninya diperlahankan menjelang September depan sebagai persiapan menerima kehadiran orang baru dan disambung semula dalam tempoh empat bulan selepas habis tempoh berpantang.

“Ketika ini saya masih aktif dan menjalani kehidupan seperti biasa. Alhamdulillah, kandungan juga sihat dan tidak berdepan alahan teruk.

“Doktor juga tidak menghalang saya teruskan kegiatan seni, tetapi apa yang pasti saya amat gembira dengan apa yang saya miliki hari ini terutama ketika menunggu kelahiran bayi sulung ini,” katanya.

Sumber HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar