Nonny Nadirah Cuba Di Pentas Teater

“Terus terang, saya menceburi bidang seni kerana minat dan berlakon juga periuk nasi dalam bidang lakonan. Saya juga tidak terfikir untuk meletakkan ‘pasir’ dalam ‘periuk nasi’ sendiri.

Baru saja membina nama dalam bidang seni, pelakon yang dikenali dengan watak antagonis Nonny Nadirah Zainuddin sudah terpalit pelbagai kontroversi.

Lebih teruk lagi, ada pihak yang mendakwa dirinya sebagai pelakon bermasalah dan tidak berdisiplin termasuk membatalkan sesi fotografi yang diatur dengan pihak media pada saat akhir, baru-baru ini.

nonny

Namun, pelakon digilap daripada program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini menafikan cerita yang tersebar itu.

“Saya juga memohon maaf kepada pihak media yang terbabit kerana kejadian yang berlaku tidak disengajakan. Saya tidak dapat menceritakan lebih lanjut kerana apa yang berlaku membabitkan masalah peribadi.

“Saya sudah menghubungi pihak media terbabit untuk memberitahu cerita sebenar dan akan berusaha memberikan komitmen terbaik supaya kejadian itu tidak berulang,” kata pelakon berusia 26 tahun ini.

Menurut Nonny, selepas bapanya meninggal dunia, dia kini menjadi ketua keluarga.

“Ayah meninggal dunia ketika saya terbabit dengan penggambaran drama Cinta Hati Abah pada penghujung tahun lalu.

“Apa yang menyedihkan, saya tidak sempat menatap wajah arwah ayah buat kali terakhir. Kini, segala-galanya saya tanggung sendiri. Saya juga tidak malu untuk mengaku berasal daripada keluarga yang susah. Menerusi pendapatan dalam bidang senilah, saya menyara keluarga.

“Selain menyara diri sendiri di Kuala Lumpur, saya juga perlu menyara keluarga dengan keadaan kewangan yang belum stabil ketika ini,” katanya.

Sebagai pelakon, Nonny mengakui, soal populariti jatuh nombor dua kerana dia lebih mementingkan kualiti dalam bidang lakonan.

“Saya akui masih banyak yang perlu dipelajari untuk memperbaiki prestasi lakonan sedia ada.

Sebagai pelakon, saya hanya melaksanakan tanggungjawab yang di serahkan penerbit dan pengarah sebaik mungkin.

“Dari segi watak diimpikan pula, saya ingin melakonkan watak wanita lasak selepas ini,” katanya.

Kini Di Pentas Teater

Hampir sedekad berkecimpung dalam bidang seni, sampai masanya, Nonny mencabar dirinya beraksi di pentas teater pula.

Justeru, peluang keemasan yang diberikan penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan untuk beraksi dalam pementasan Teater Ombak Rindu yang akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 22 April hingga 1 Mei nanti tidak disia-siakan.

“Saya berasa gementar kerana julung kali beraksi di pentas teater. Sebelum ini ada pihak yang menawarkan buat projek teater tetapi saya yang belum bersedia.

“Kali ini saya terima kerana ingin menyahut cabaran beraksi di pentas teater pula. Apa yang menarik, saya melakonkan karakter yang baik dan berbeza daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Cabaran paling besar adalah saya perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal kerana berlakon teater berbeza daripada lakonan di kaca TV. Saya juga akan beri komitmen 100 peratus dalam teater ini,” katanya.

Selain Teater Ombak Rindu, dia juga terbabit dalam program gameshow Lari untuk stesen TV9. Manakala, drama lakonannya Lara Terindah bergandingan dengan Nelydia Senrose dan Nazrief Nazri akan bersiaran di Slot Akasia, TV3. Tidak ketinggalan, dia turut terbabit dalam projek filem Malay Regiment. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar