Faizal bangkit dengan lagu baru Tanpa Dirimu


"Tiada gunanya kalau hendak dikesali keputusan itu kerana apa yang pernah saya lalui selama ini memberikan banyak pengajaran. "Ia pengalaman dan pengajaran yang mematangkan hidup saya dan sekarang saya muncul dengan penampilan baharu. Saya juga lebih berkeyakinan dan sudah semestinya bersedia meneruskan kerjaya sebagai penghibur sejati," katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Tiada istilah menyesal dalam diri juara bintang Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Faizal Ramly, 31, apabila beliau mengambil keputusan meninggalkan ibu kota dan menetap di kampung halamannya, Marang, Terengganu, selama empat tahun.

Sepanjang tempoh diakui memeritkan itu, Faizal sudah melihat detik kejatuhan kerjaya seninya sehingga menjadikan kehidupannya bagai tiada hala tuju. Kini, selepas empat bulan kembali ke Kuala Lumpur, Faizal nekad untuk menyambung semula dunia nyanyian yang pernah mengangkat namanya ketika menjuarai program realiti terbabit, hampir sedekad lalu.

Katanya, selama empat tahun berada di Terengganu, beliau tidak pernah meninggalkan bidang seni suara.

"Selama empat tahun menghilang bukan bererti saya tiada lagi dalam industri ini. Saya banyak menumpukan kerja seni di Pantai Timur. "Bukannya saya tidak boleh hidup dengan mencari makan di sana. Rezeki masih ada, Alhamdulillah. Bagaimanapun, industri kita banyak tertumpu di ibu negara, maka saya mengambil keputusan kembali berpindah ke sini," kata Faizal yang mengaku mempunyai semangat baharu untuk membuat penampilan semula di arena seni.

Berpindah ke ibu negara sejak Februari lalu, Faizal berkata, dirinya bukan kembali dengan tangan kosong. "Saya mempunyai beberapa perancangan, termasuk penerbitan lagu baharu," katanya yang muncul dengan single terkini berjudul Tanpa Dirimu.

Menyentuh mengenai lagu berkenaan, Faizal mengakui dirinya sayu apabila mengingatkan insan tersayang, iaitu ibunya yang tidak sempat mendengar karya berkenaan apabila kembali menghadap Tuhan, baru-baru ini. "Single terbaharu ini siap seminggu sebelum ibu saya meninggal dunia.

Sebaik siap, saya terus membawa pulang cakera padat (CD) dengan niat mahu memperdengarkan kepadanya. Bagaimanapun ketika itu ibu sudah tenat di hospital. Beliau menghembuskan nafasnya pada 24 April lalu.

"Kehampaan dan kesedihan sukar untuk saya gambarkan. Lagu itu sangat meninggalkan kesan kepada saya apabila ibu pergi buat selama-lamanya. Judul lagu itu, Tanpa Dirimu, juga sudah cukup untuk menggambarkan kesedihan saya atas pemergiannya.

"Namun, itulah semangat yang ingin saya kembalikan dalam kemunculan semula ini, dengan menjadikan ibu saya sebagai inspirasi," katanya yang akan melancarkan lagu terbabit esok. - BHarian

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar