Konsert 2 Dimensi, M Nasir dan Jamal 22 Mei Di TV1

Gabungan dua figura seni besar ini pastinya cukup dinantikan peminat industri seni tanah air. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghadiahkan sebuah konsert yang menyatukan penyanyi tersohor Datuk M.Nasir dan Datuk Jamal Abdillah dalam “Konsert 2 Dimensi” yang menemui penoton pada 22 Mei ini, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV1.

M Nasir

Disiarkan mengisi slot Lentera Muzika, konsert diadakan bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur sekitar November 2015 lalu menerima sambutan diluar jangka penonton yang hadir menantikan persembahan Jamal Abdillah dan M.Nasir bermula pukul 9.00 malam.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali memulakan persembahan dengan lagu ‘Aku Penghibur’ diikuti lagu ‘Juwita Citra Terindah’ oleh M.Nasir dengan gayanya yang tersendiri. Pemilik nama Mohamad Nasir Mohamad meneruskan persembahan solo dengan lagu-lagu hitsnya iaitu ‘Phoenix Bangkit Dari Abu’, ‘Falsafah Cinta’ dan ‘Suatu Masa’.

Jamal

Diiringi pemuzik Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM), persembahan diteruskan lagi dengan persembahan solo ‘Raja Pop” dengan mendendangkan lagu-lagu popularnya berjudul ‘Disudut Kamar Hatimu’ dan ‘Seniman Menangis’. Juara Bintang RTM 1979 itu turut mengambil kesempatan menghiburkan peminat dengan lagu ‘Azura’ yang sememangnya dinantikan sejak awal konsert lagi.

Menariknya Jamal yang mencecah usia pertengahan 50-an turut mendendangkan lagu ‘Seroja’ dan ‘Kau Kekasih Awal Dan Akhir’ yang ternyata berjaya memukau lebih 500 penonton dengan persembahan cukup bertenaga dan menghiburkan.

Dua penyanyi undangan, Hazama dan Azlan The Typewriter turut mengambil tempat menghiburkan dengan lagu popular mereka. Azlan nyata menyerlah dengan dua lagunya iaitu ‘Melankoli’ dan ‘Malam’ beserta lagu pilihannya iaitu ‘Hani’ nyanyian asal Dato’ Hattan.

Sementara itu Hazama menyanyikan lagu yang menjadi siulan masa kini bertajuk ‘Sampai Mati’ dan lagu Kumpulan Search berjudul ‘Aku Dah Bosan’.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar