Mira Filzah berminat berlakon dengan aktor senior

Mira

Berkongsi perkembangan terkini, Mira terikat dengan penggambaran beberapa drama. Antara drama terbaru Ketupat Palas Mr Handsome bergandingan dengan Fattah Amin.

“Antaranya, drama Meh, Sandar Pada Aku di mana saya bergandingan dengan Aliff Aziz.

“Selain itu, saya akan mengacarakan sebuah program secara langsung tidak lama lagi. Memang gementar tetapi saya sudah bersedia menggalas amanah ini,” katanya.

Sejak menempa nama, kehidupan pelakon jelita ini tidak lagi sebebas dulu. Ternyata jadual seninya kian padat apabila banyak pihak berminat menyuntingnya sebagai pelakon.

Nur Amirah Filzah Badioezaman atau lebih dikenali dengan nama komersial, Mira Filzah, 23, mengakui mahu menyambut peluang yang terbentang depan mata. Apabila sudah menceburi bidang ini, pelakon Cinta Cinta Si Wedding Planner itu mahu memanfaatkan segala perkara.

Sesibuk mana sekali pun, si cantik ini tidak akan sesekali mengetepikan impian menceburi bidang perniagaan. Disebabkan itu juga, dia gembira apabila dapat menamatkan pengajian dalam bidang itu.

“Pendidikan sangat penting bagi saya. Keluarga selalu beri peringatan saya mesti mendahulukan pendidikan meskipun rezeki dalam bidang lakonan semakin murah.

“Syukur, saya kini graduan bidang perniagaan. Semestinya, saya akan merealisasikan impian bergelar ahli perniagaan,” kata lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini.

Populariti yang diraih Mira cukup luar biasa. Sekelip mata, wajah jelitanya menjadi perbualan bahkan kebolehannya dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan menjadi tiket mudah untuknya mengukuhkan nama dalam industri seni tanah air.

“Banyak aspek yang membantu saya berada di tahap ini. Sebelum terjun ke bidang lakonan, saya aktif dalam dunia peragaan dan menulis blog.

“Peminat juga memainkan peranan penting menaikkan nama saya.

“Saya masih baru dalam bidang ini dan kena banyak belajar,” katanya.

Bagi mengukuhkan skil lakonannya, Mira berharap digandingkan dengan hero berpengalaman dan lebih berusia daripadanya.

Pengalaman berlakon di sisi Adi Putra banyak membantunya dan berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai aktor senior.

“Saya teringin berlakon dengan Datuk Rosyam Noor, Bront Palarae, Aaron Aziz dan Remy Ishak.

“Saya dapat banyak ilmu dan pendedahan baru jika berlakon dengan bintang senior. Sepanjang bekerja dengan Adi, dia banyak menurunkan ilmu,” katanya. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar