Nadzmi Adhwa Idam Watak Jahat


Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 24, atau lebih dikenali sebagai Nadzmi Adhwa berkata, dia banyak belajar dengan pelakon Syazwan Zulkifly.

Lumrah kita melihat para pelakon yang selalu membintangi watak jahat selalunya mempunyai air muka yang bengis mahupun berwajah garang. Tetapi, bintang baru seperti Nadzmi Adhwa ketika dihubungi, dia memberitahu watak jahat tidak semestinya ada rupa sebegitu saja.

"Saya belum pernah dapat watak jahat lagi dan sememangnya itulah watak yang saya sudah lama nantikan. Saya sanggup botak demi watak tersebut. Tidak kiralah watak jahat seperti merompak, pukul orang mahupun merogol, saya sahut cabaran tersebut.

"Bagi saya watak jahat ini tidak semestinya kena ada muka pecah ataupun berwajah garang dan bengis, semuanya bergantung dengan jalan ceritanya. Kalau muka kacak dan jambu pun apa salahnya, bukan nak kata diri saya macam itu namun memang betul watak jahat tak semestinya kena ada rupa garang," ujarnya seloroh.

"Dalam industri lakonan ini saya sebenarnya banyak belajar daripada Syazwan sebab dia berpengalaman dalam arena seni lakonan, malah, dia juga pernah berlakon watak jahat, jadi saya akan belajar dengan dia," kata Nadzmi.

Nadzmi kini sedang menjalani penggambaran drama Cinta Roller Coaster terbitan Suhan Movies. - Media Hiburan

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar