Nur Balqis Telefilem Khas Hari Guru

Hari Guru

Bagi golongan bergelar pendidik, tarikh 16 Mei setiap tahun pastinya amat dinantikan mereka yang diraikan menerusi sambutan Hari Guru. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut sama menyatakan penghargaan dan berkongsi momen indah ini menerusi tayangan telemovie khas bertajuk “Nur Balqis” yang disiarkan pada 15 Mei ini, pukul 10.30 pagi di TV1.

Mengangkat kisah bagaimana pendekatan lain digunakan seorang guru dalam menyuntik minat dan semangat menuntut ilmu di kalangan pelajarnya, telemovie ini menampilkan pelakon Sari Yanti, Zahiril Adzim, Mandy Chong, Fadzli, Farahanni dan Badrul Munir. Ceritanya bermula dengan babak sejak kecil Zarul dan Balqis bersahabat baik dan membesar di kawasan yang sama dan satu sekolah. Pun begitu, masing-masing kompetitif.

Mereka sering mencabar satu sama lain terutamanya dari segi pembelajaran. Disebabkan itulah, dalam kemesraan hubungan mereka, terselit cemburu dan sifat ingin berlumba. Balqis pelajar contoh justeru hubungannya yang baik dengan guru dan keaktifannya dalam aktiviti ko-kurikulum terutamanya pertandingan syarahan dan pidato.

Zarul pula lebih nakal, selalu mencetuskan masalah. Balqis memasang impian untuk menjadi guru, manakala Zarul mahu bergelar jurutera. Zarul selalu mentertawakan dan memperlekehkan cita-cita Balqis yang dianggapnya biasa-biasa sahaja dan tidak sehebatnya.

Tahun berganti tahun, masing-masing meningkat remaja dan melanjutkan pelajaran ke IPTA. Balgis tekun dalam bidang pendidikan dengan pengkhususan dalam kesusasteraan, manakala Zarul dalam kejuruteraan mekanikal di universiti yang berbeza.

Namun, hubungan mereka tidak putus. Mereka berhubung melalui telefon dan internet. Balqis lulus dengan cemerlang sekali gus melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah, namun sikap Zarul yang tidak serius menyebabkannya terkandas pada semester pertama lagi.

Keluarganya menggesanya mengambil bidang pendidikan. Dia tidak berminat, namun setelah didesak, dia akhirnya bersetuju. Disebabkan perasaan malu, Zarul tidak lagi berhubungan dengan Balqis sekali gus mengecewakan Balqis. Balqis menamatkan pelajaran lebih awal daripada Zarul. Dia ditugaskan di sebuah sekolah di kawasan luar bandar.

Sementara Zarul berusaha untuk tidak gagal kali kedua, Balqis menghadapi cabaran tersendiri. Para pelajarnya tidak minat dalam pelajaran tambahan lagi apabila tiba ke subjek KOMSAS. Mereka juga nakal dan tidak hormat pada guru. Para pelajar itu diketuai oleh Fauzul.

Guru di sekolah tersebut juga tidak bersemangat lagi untuk mengajar dan membentuk para pelajar itu. Balqis tidak berputus asa. Dia sebaliknya beriltizam untuk mengubah senario tersebut kepada lebih positif. Dia merancang pelbagai pembaharuan. Guru-guru lain mula membuka mata.

Pembaharuan yang dilakukan Balqis mula menampakkan hasil. Namanya mengharum. Paling memeranjatkan, Fauzul menampakkan perubahan yang baik. Zarul akhirnya menamatkan pengajiannya. Kebetulan, dia juga ditugaskan di sekolah yang sama dengan Balqis.

Balqis terkejut apabila mendapati Zarul bergelar guru. Zarul malu dan cuba mengelakkan diri dari bertembung dengan Balqis bagaimanapun berusaha mengeratkan persahabatan mereka. Zarul masih dengan sikap lamanya. Dia kini berhadapan dengan pelajar-pelajar nakal yang baru memulakan sesi persekolahan di sekolah tersebut. (Zarul mengajar Matematik). Dia mengajar acuh tidak acuh, menyebabkan dia di tegur oleh pengetua.

Apabila Balqis sering kali dipuji dan dijadikan rujukan, dia mula berasa cemburu dan tercabar. Tambahan lagi, Balqis turut “mengapi-apikannya”. Zarul mulai bersikap kompetitif. Dia memperbaiki pedagoginya. Pada masa yang sama, dia menjadi jurulatih pasukan bola sepak sekolah. Balqis gembira dengan perubahan sikap Zarul.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar