Rebirth Album Terbaru Aliff Aziz

“Album ini menampakkan sisi matang saya dan setiap lagu bawa impak berbeza kepada pendengar,” katanya.

Sekian lama menyepikan diri, penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz kembali aktif dengan album keempat berjudul Rebirth.


Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, album berkenaan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan berikutan kontroversi yang tercetus pada 2014.

Berazam untuk berubah, Aliff mendedahkan melalui kehidupan sukar sehingga tertekan sepanjang ‘menghilang’.

“Ketika itu, saya hanya berkurung di rumah dan menghabiskan masa dengan menonton TV.

“Keluarga pula dingin dengan saya kerana sudah mencemarkan nama baik mereka dan situasi itu buat saya bertambah tertekan,” katanya di Majlis Pelancaran Album Rebirth, baru-baru ini.

Menurut Aliff, kehidupannya mula berubah selepas bertemu semula dengan Bella Astillah yang kini tunangnya pada Anugerah Industri Muzik (AIM) pada hujung Disember 2014.

“Semenjak pertemuan itu, kami sentiasa berhubung dan Bella kemudian mengajak saya ke Kuala Lumpur untuk bertemunya.

“Bella banyak mengubah saya, malah keluarganya sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Secara kebetulan ketika masih berada di ibu kota, Aliff berkata, pengarah urusan Sony Music menghubunginya bagi membantunya kembali semula dalam industri muzik.

“Atas nasihat Bella, saya menyiapkan rakaman album yang lama tertangguh. Saya bersyukur, masih diberi peluang untuk meneruskan karier nyanyian dan berharap album ini diterima baik pendengar di Malaysia,” katanya.

Dijangka melangsungkan perkahwinan pada tahun ini, Aliff turut meluahkan rasa kecewanya terhadap segelintir individu yang masih mengungkit kisah silamnya.

“Kontroversi itu sudah lama, namun masih ada bercakap mengenainya ketika lagu Warna Cinta diperkenalkan, baru-baru ini.

“Malah, majlis pertunangan turut dijadikan isu kerana ada pihak merasakan ia terlalu meriah,” katanya.

Aliff berkata, kritikan itu turut dirasai Bella, malah ada pihak cuba menghasut keluarga tunangnya itu supaya memutuskan hubungan mereka.

“Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Pada awalnya Bella tertekan apabila membaca cerita buruk mengenai saya di media sosial, namun kini dia sudah lali.

“Saya sudah insaf dan berharap peminat dapat menerima saya kembali,” katanya.


Album Baru

Bercerita mengenai album barunya, Aliff berkata, perkataan Rebirth yang bermaksud kelahiran semula diangkat sebagai judul albumnya.

Rebirth yang memuatkan 10 lagu mendapat sentuhan beberapa komposer terkenal antaranya Faizal Tahir, Kunci Demak, Tun Teja dan Azlan Abu Hassan.

Tiga daripadanya menampilkan duet bersama penyanyi Siti Nordiana, Killa Fairy dan Emma Suhaimi.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar