Zara mahu watak wanita terencat akal atau jahat

Zara Zya

“Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan atas sokongan dan galakan yang diberikan. Nampaknya, bukan sahaja peminat yang melihat lakonan saya, tetapi juga pelakon yang lebih senior.

“Pujian itu tidak membuatkan saya bangga diri, sebaliknya memberikan saya tekanan positif untuk bekerja lebih keras. Saya ingin berikan kelainan dalam lakonan dengan mempelbagaikan pemilihan watak,” katanya.

Baru-baru ini, pelakon tersohor Ogy Ahmad Daud meletakkan nama Zara Zya bertaraf seniwati.

Respons kepada pujian dan komen itu, Zara mengakui teruja, namun perlu bekerja lebih keras dalam lakonan.

Menurutnya, dia kini ingin bekerja keras bagi memastikan namanya sentiasa relevan sebagai pelakon.

“Tahun ini jadual saya penuh dengan penggambaran. Kalau boleh, saya mahu sentiasa hadir dengan produk baru. Saya tidak mahu nama saya hanya muncul ketika drama sedang popular sahaja. Kalau boleh biarlah berpanjangan. Selagi mampu, saya akan terus bekerja keras,” katanya.

Ditanya mengenai wataknya yang sentiasa hampir serupa untuk setiap drama lakonannya, Zara sentiasa menantikan sekiranya ada tawaran untuk watak berbeza.

“Sebagai pelakon, tentunya saya inginkan watak yang berbeza untuk mempelbagaikan skil lakonan. Kalau boleh, saya menunggu juga kalau-kalau ada tawaran untuk watak mencabar seperti wanita terencat akal atau jahat.

“Namun, apa yang boleh saya katakan, pasaran dan kehendak penonton hari ini mahukan watak yang ‘sweet’ dan romantik,” katanya.

Ditanya mengenai dunia pengacaraan yang diceburinya baru-baru ini bagi mengendalikan program Kilauan Emas Otai, Zara mengakui dirinya belum bersedia untuk bergelar pengacara.

“Selepas selesai dengan program itu, saya berasa sangat lega. Rasa gemuruh mengendalikan program TV lebih tinggi berbanding gemuruh ketika berlakon. Mungkin kerana jiwa saya lebih kepada lakonan.

“Namun, peluang itu pengalaman manis bagi saya kerana berpeluang belajar benda baru,” katanya.

Dia juga turut menerima tawaran untuk mengacarakan program TV sempena Aidilfitri, namun terpaksa ditolak kerana jadualnya yang padat.

“Kalau ada lagi peluang untuk mengacara, mungkin saya lebih memilih program ringan seperti ‘game show’ dan sebagainya. Lebih baik lagi, kalau saya digandingkan dengan pengacara lain kerana itu lebih selesa,” katanya.

Terbaru, Zara kini baru sahaja memulakan penggambaran untuk drama bersiri Tuan Anas Mikael Raya.

“Kalau sebelum ini, drama untuk Aidilfitri dihasilkan dalam bentuk telefilem selama dua jam, tetapi untuk Tuan Anas Mikael, kami diberikan slot istimewa sebanyak lima episod,” katanya. - HMetro Syafil Syazwan Jefri

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar