Emma risau peminat bosan


"Terbaharu, kami kembali digandingkan dalam drama rantaian, Assalamualaikum Cinta. Ia adalah drama kelima yang menggandingkan Emma dan Kamal. Kadang-kala, terdetik juga di hati memikirkan penerimaan penonton kerana bimbang mereka bosan menonton gandingan kami.

Pelakon Emma Maembong gusar memikirkan penerimaan penonton apabila sering digandingkan dengan kekasihnya, Kamal Adli dalam drama. Menyedari pasti ada penonton yang akan bosan melihat gandingan mereka, pelakon berusia 24 tahun itu bagaimanapun, terpaksa akur dengan permintaan stesen TV.

"Secara peribadi, Emma tidak kisah apabila kami sering digandingkan jika ia memenuhi kehendak penonton," katanya. Terpaksa menempuh Ramadan di set penggambaran drama 20 episod itu, Emma mengakui, tidak mempunyai cukup masa untuk berbuka bersama keluarga.

Dalam kesibukan itu, Emma tetap mencuri masa meluangkan masa bersama ayahnya, Ismail Embong meskipun tidak dapat mengumpulkan semua ahli keluarga serentak.

"Emma sudah terbiasa sibuk dengan penggambaran di bulan puasa. Ia bukan disengajakan kerana penggambaran drama ini sepatutnya selesai sebelum Ramadan, tetapi atas sebab tertentu, ia berlanjutan hingga bulan puasa.

"Mustahil untuk Emma mengumpulkan semua ahli keluarga berbuka puasa bersama kerana masing-masing ada komitmen tersendiri. Emma bagaimanapun, akan tetap mencuri masa untuk berbuka dengan ayah," katanya.

Mengakui agak memenatkan menjalani penggambaran di bulan puasa, Emma hanya menerima satu tawaran untuk diselesaikan dalam satu masa sebelum beralih ke produksi lain.

"Emma bukan jenis yang suka buat banyak kerja dalam satu masa. Emma akan selesaikan sesuatu projek sebelum menerima tawaran lain. Tidak sangka pula, penggambaran ini akan berlanjutan hingga Ramadan," katanya. - BHarian

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar