Farid dan Diana kekok berlakon bersama

Sedikit Waktu

Pelakon Farid Kamil mengakui kekok bergandingan bersama isterinya, Diana Danielle, 25, ketika membintangi drama, Sedikit Waktu. Farid, 33, berkata, perasaan kurang selesa itu timbul kerana mereka tidak pernah bergandingan dalam mana-mana produksi sebelum ini.

Terbaru meraka bergandingan dalam drama telemovie Sedikit Waktu yang bakal ditayangkan di Astro Ria pada 3 Julai ini.

Kejanggalan itu, bagaimanapun memberi mereka ruang untuk menghidupkan lagi karakter suami isteri yang semakin jauh dalam karya arahan Khabir Bhatia itu.

"Pertama kali kami dipilih bergandingan sebagai suami isteri di layar menjadikan saya kekok dan kurang selesa. Begitu juga isteri yang pada mulanya agak sukar menyesuaikan diri dengan suasana di lokasi.

"Bagaimanapun, kejanggalan itu membawa kebaikan kerana jalan cerita drama ini berkisar mengenai kesibukan pasangan bekerjaya hingga menyebabkan rumah tangga mereka semakin jauh.

"Sedikit Waktu memberi gambaran mengenai kekurangan dalam sistem keluarga apabila suami dan isteri bekerjaya. Mesej yang disalurkan disampaikan menerusi permainan visual yang mengesankan," kata Farid.

Pada masa sama, Farid turut meluahkan impiannya untuk disatukan dengan Diana dalam karya dan naskhah yang bersesuaian. Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Anak Halal itu berharap mereka akan diberi peluang untuk bergandingan di layar perak.

"Teringin saya melihat bagaimana hasil apabila berlakon bersama Diana di bawah pengarah berkaliber seperti Osman Ali dan U-Wei. "Bagaimanapun, karya itu perlu bersesuaian dengan kami. Saya tidak menolak untuk digandingkan bersama Diana cuma perlu meneliti tawaran yang datang.

"Selepas bergandingan sebagai suami isteri dalam Sedikit Waktu, tidak salah jika diberikan tawaran untuk bersatu di layar perak pula," kata Farid.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar