Victoria Bridge di Kuala Kangsar, Perak


Jambatan Karai atau nama rasminya Victoria Bridge ini menjadi scene montaj bagi drama Cinta 11 Syarat yang ditayangkan di Astro Maya.

Jambatan disifatkan tercantik di Asia Tenggara yang dibina pada 1897 ini adalah peninggalan sejarah tertua hasil idea bersama dua jurutera iaitu G W Fryer dan C R Hanson dan dirasmikan Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada 21 Mac 1900.

Pemandangan indah segar mata memandang apabila menyaksikan aliran air sungai yang di sekitar tebingnya pokok dan rumput kehijauan, deretan bukit-bukau dan sebuah jambatan lama berdiri megah merentangi Sungai Perak.

Pengunjung yang pertama kali ke Pusat Pelancongan Victoria Bridge, Seberang Karai, Kuala Kangsar, Perak pasti teruja dengan persekitarannya yang mendamaikan.


Lebih mengagumkan apabila dapat menyaksikan secara dekat sebuah jambatan kereta api yang tertua di Malaysia berusia 113 tahun merentangi Sungai Perak di Seberang Karai.

Seperti kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz sewaktu majlis Pelancaran Victoria Bridge Green Day 1Malaysia Green 1Malaysia Clean, jambatan itu monumen penting sebagai mercu tanda, tarikan pelancong dan impak kepada pembangunan penduduk sekitarnya.


Ia perlu dipulihara kerana ia menjadi warisan negara dan aset pelancongan yang bernilai.

Kira-kira 200 pelancong asing memeriahkan majlis dihadiri lebih 5,000 orang pada majlis pelancaran itu dengan pelbagai acara termasuk persembahan hadrah, sukan air tradisional, pertunjukan motocross, demonstrasi meriam buluh, absailing di tengah Victoria Bridge, persembahan Homeguard serta gotong-royong jamuan makan tengah hari bersama penduduk setempat dan pelancong asing.

Jambatan Victoria sudah tidak digunakan lagi sejak 2002 berikutan pembinaan Jambatan Iskandar yang jaraknya kira-kira dua meter bagi laluan kereta api yang menghubungkan negeri di sebelah utara. Bagaimanapun, ia masih gagah dan indah.

Jambatan ini sempena nama Ratu Victoria yang memerintah United Kingdom ketika itu.

Jambatan ini pernah mendominasi perhubungan dan menjadi laluan penghubung antara negeri Melayu Barat termasuk ke Pelabuhan Pulau Pinang terutama untuk mengangkut bijih timah.

Pelbagai sejarah dapat dilihat di sekitarnya termasuk tugu monumen dan kubur peninggalan Jepun, selain pelbagai projek pelancongan negeri bagi mengindah dan menceriakan kawasan sekitarnya.

Selepas majlis Pelancaran Victoria Bridge Green Day 1Malaysia Green 1Malaysia Clean itu, seramai 80 pelancong dari Sweden mengunjungi tempat itu untuk mengadakan kenduri ala kampung.

Banyak kemudahan asas disediakan seperti inap desa, parkir, tempat rehat dan rawat serta 20 anak pokok teduhan.

Jika datang secara berkumpulan, pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan dan kesenian tradisional diadakan setiap bulan.

Layari laman Facebook ‘Victoria Bridge Malaysia’ untuk keterangan lanjut. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar