Zainol Macwilson tiada niat untuk menipu

Macwilson

"Ada sebab saya menafikan perkahwinan itu, bukan suka-suka mahu menipu. Maafkan saya jika ada pihak yang terasa. "Saya tiada niat mahu melukakan hati mana-mana pihak, apatah lagi pada Ramadan yang mulia ini, tidak mungkin saya mahu bersikap buruk," katanya.

Pelakon Zainol Macwilson memohon maaf kepada semua pihak atas kenyataan palsu berhubung status pernikahannya pada 19 Jun lalu. Zainol atau nama sebenarnya Zainol Mohd Johari Macwilson, 57, berkata dia menafikan cerita perkahwinannya dengan isteri baharu itu kerana beberapa sebab tertentu yang tidak dapat didedahkan.

Terbaharu, gambar Zainol dan seorang wanita tidak dikenali dilihat seperti baru saja menjalani majlis pernikahan, tersebar di laman maya. Menurut laporan sebuah blog, Zainol dan wanita terbabit bernikah pada 19 Jun lalu di Kangar, Perlis.

Pernikahan berkenaan dikatakan berlangsung tanpa diketahui anaknya yang juga seorang pelakon, Zahirah Macwilson, mahupun keluarga Zainol atas permintaan anggota famili isteri baharu aktor terbabit.

Terdahulu, Zainol pernah dikatakan menjalin hubungan cinta dengan seorang ustazah sehingga mengakibatkan perceraian dengan bekas isterinya, Maslinda Yusof, 42, pada 9 November lalu.

Ditanya mengenai identiti wanita dikahwininya, kata Zainol, isteri baharunya bukanlah ustazah yang pernah menjadi kontroversi itu. "Eh, dia bukan ustazah itu. Isteri saya seorang pendidik dan saya mengenalinya sejak kecil lagi.

Dia orang kampung saya di Perlis dan 20 tahun lebih muda. "Saya harap, dengan penjelasan ini, tiada lagi isu yang berbangkit. Lagipun, tidak salah jika saya mahu berkahwin lagi memandangkan saya sudah solo," katanya.

Menerusi perkahwinannya selama 22 tahun dengan Maslinda sebelum ini, Zainol dikurniakan empat anak termasuk Zahirah.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar