Kontroversi mematangkan diri saya


“Pada masa sama, saya juga melihat setiap kritikan media dan peminat dari sudut yang positif untuk menampilkan lakonan yang lebih bagus,” katanya yang melangsungkan pernikahan dengan Nurul Shuhada pada 30 April lalu.

Selepas berumah tangga, pelakon Hafidz Roshdi mengakui hidupnya lebih bermakna dan terurus berbanding pada zaman bujangnya dulu.

Bagi pelakon yang menempa nama menerusi drama bersiri Tundukkan Playboy Itu, isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus menceburi bidang lakonan.

“Isteri adalah peminat nombor satu sejak dulu. Dia pengkritik setia saya dalam bidang lakonan.

“Setiap kali drama lakonan saya ditayangkan di televisyen, dia akan memberi kritikan membina untuk saya memperbaiki kelemahan yang ada dari semasa ke semasa.

Sejak berkahwin, Hafidz juga ingin mengelak daripada melakonkan babak bersentuhan dalam drama selepas ini.

“Kalau boleh saya ingin mengelak melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama. Bukan setakat untuk menjaga hati isteri semata-mata, tetapi untuk menjadi umat Islam yang lebih baik di sisi Allah.

“Saya juga percaya pengarah sekarang lebih kreatif dan bijak untuk menonjolkan babak suami isteri tanpa perlu bersentuhan pun,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengikut jejak artis popular lain yang melantik isteri menjadi pengurus, Hafidz menafikannya.

“Isteri ada juga membantu secara tidak langsung menguruskan karier seni, tetapi bukan sepenuh masa. Maklumlah, isteri juga memiliki cita-citanya sendiri dan dia juga jarang menemani saya ke lokasi penggambaran kerana ada kelas pada hari bekerja,” katanya.

Soal anak pula, kata Hafidz, mereka juga sudah bersedia untuk membina keluarga, sekali gus melengkapkan kebahagiaan sedia ada.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kami ingin memiliki empat cahaya mata,” katanya.

Baru saja membina nama, Hafidz sudah pun dilanda pelbagai kontroversi yang turut menjejaskan nama baiknya.

Selepas kontroversi membabitkan gandingannya dalam drama Tundukkan Playboy Itu iaitu Uqasha Senrose, wajah isterinya pula mendapat komen negatif dan penghinaan dari pengikut di laman sosial.

Namun, Hafidz menganggap setiap kontroversi yang melanda adalah sebahagian daripada asam garam dalam bidang hiburan tanah air.

“Saya dan isteri melihat setiap komen negatif sebagai kekuatan untuk kami terus teguh bersama ketika suka dan duka.

“Saya percaya isteri kuat untuk melalui semua ujian itu. Pada masa sama, saya juga tidak serik untuk bergandingan dengan Uqasha dalam drama selepas ini,” katanya.

Mengenai perkembangan karier seni, kata Hafidz, selepas berehat pada Ramadan lalu, dia kembali memenuhi undangan berlakon drama ketika ini.

“Terbaru, saya terbabit dengan projek drama bersama penerbit Sheila Rusly. Ia cabaran baru untuk saya sebab saya perlu melakonkan dua watak berbeza. Manakala, drama lakonan yang menanti tayangan ialah drama bersiri Hajah Heathrow untuk saluran TV3.

“Selain drama, saya juga ingin mengintai peluang berlakon projek filem pula selepas ini,” katanya.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar