Syafie tidak cerewet sering watak sama

Syafie

“Walaupun berusia 24 tahun, saya masih ditawarkan watak remaja dan kanak-kanak tetapi tidak ambil pusing asalkan kemunculan saya dalam drama atau filem mendapat perhatian umum.

Biarpun sering menghidupkan watak remaja, pelakon Syafie Naswip tetap bangga kerana masih boleh berlakon.

Kata pemilik nama penuh Mohammad Syafie Naswip itu, walaupun sudah hampir 12 tahun mencanai bakat dalam bidang lakonan tidak pernah terdetik rasa kecewa di hatinya meskipun kurang mendapat kepercayaan tampil sebagai watak utama.

Baginya, setiap tawaran yang datang adalah rezeki dan perlu dijayakan sebaik mungkin.

“Saya sering nampak pelakon baru yang masih muda diberikan watak utama malah ada juga yang sudah bawa karakter bapa.

“Bagaimanapun, saya tidak kecil hati sebaliknya lihat dari sudut positif. Walaupun kurang dapat watak utama, saya masih bertahan lama dalam industri. Mungkin kerana fizikal yang kecil membuatkan tawaran sedemikian tidak putus sehingga ke hari ini. Mungkin apabila berusia 30-an nanti, saya boleh bawa watak pelajar kolej lagi.

“Kalau terlalu cerewet memilih watak, saya juga yang rugi. Kadangkala watak budak lebih mencabar berbanding karakter bapa. Jadi, lebih baik saya terima tawaran itu sebelum terlepas ke tangan pelakon lain,” katanya.

Kata Syafie, sebelum ini dia pernah tertekan apabila sering bawa watak sama tetapi apabila usia kian meningkat wujud kesedaran dalam dirinya supaya bersyukur.

“Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya berungtung kerana dikurniakan wajah dan fizikal yang tidak cepat dimamah usia,” katanya yang bakal terikat dengan penggambaran filem Kampung Drift.

Menyentuh mengenai wataknya dalam filem arahan Nevin Heong itu, Syafie melakonkan watak Johan, pemuda kampung yang meminati perlumbaan drift.

“Johan mengasah skil dalam perlumbaan drif secara senyap-senyap kerana tidak mendapat restu bapanya lakonan Pekin Ibrahim.

“Dia juga mencari identiti sebenarnya sebelum berubah menjadi individu yang serius,” katanya yang memaklumkan Kampung Drift akan ditayangkan tahun ini. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar