Toyota Hilux baru, Tough and Emotional


Generasi baharu trak pikap Toyota Hilux yang dilancarkan pada Mei lalu, sebenarnya menjadi model pilihan serta dinanti-nanti masyarakat di negara ini.

Jika dilihat secara kasarnya, populariti model baharu ini mungkin mengikuti jejak generasi terdahulu selepas dijual lebih 200,000 unit sejak 2005.

Malah, UMW Toyota Motor Sdn Bhd yakin keupayaan jualan trak pikap generasi kelapan itu mampu dicapai dengan sasaran 27,000 unit sehingga hujung tahun ini.

Sekiranya anda menganggap trak pikap ini sama dengan model terdahulu, ia sebenarnya banyak perbezaan dan perubahan ketara boleh ‘dikupas’ membabitkan empat elemen penting menerusi penampilan, prestasi enjin, keselesaan serta keupayaan pengendalian.


Penampilan

Kenderaan pandu uji ini adalah varian tertinggi iaitu Toyota Hilux 2.8G yang dipenuhi segala ciri dan teknologi terkini.


Penampilannya menerapkan konsep ‘Tough and Emotional’ dengan rekaan yang sesuai untuk melakukan tugasan kerja serta menjalani urusan peribadi.

Dimensi jentera ini turut berbeza berbanding model sebelumnya apabila lebih panjang 70 milimeter (mm), 20mm (lebar) dengan ketinggian 286mm dari permukaan tanah yang pastinya memudahkan meredah laluan mencabar serta air dalam.

Pandangan penulis, jentera ini seolah-olah kelihatan seperti trak pikap Toyota Tacoma yang dipasarkan di Amerika Syarikat.

Bagi varian tertinggi ini juga ia dilengkapi Lampu Siang LED dengan jeriji krom panjang yang kelihatan bersambung antara perumah lampu hadapan.

Malah, ia tampil tegap selepas menggunakan rim aloi 18 inci dengan padanan tayar permukaan jalan raya biasa.


Prestasi enjin

Perbezaan ketara yang boleh dilihat berbanding generasi terdahulu adalah perubahan rangkaian kuasa di mana menggunakan enjin baharu Global Diesel (GD) dengan varian 2.8 liter.


Biarpun memiliki saiz kapasiti enjin lebih kecil berbanding sebelum ini, kuasa maksimum dan tork adalah tinggi selepas dipadankan dengan teknologi baharu.

Malah, ia menyediakan kuasa kilas akhiran rendah yang bertenaga, tindak balas terbaik untuk pecutan, berkeupayaan meredah laluan ekstrem dengan mudah dan paling penting adalah jimat minyak.

Enjin 2.8 liter menawarkan 25 peratus lebih jimat minyak berbanding rangkaian kuasa terdahulu iaitu 3.0 liter, malah pertukaran gear juga lancar serta menawarkan kuasa pecutan yang terbaik selepas menggunakan transmisi enam kelajuan automatik.


Keselesaan

Ruang kabinnya tampak seperti rekaan sebuah SUV, manakala bahagian papan kelihatan padat dengan teknologi baharu terutama varian tertinggi selepas didatangkan skrin sesentuh bersaiz 6.1 inci.


Kerusi hadapan trak pikap ini lebih selesa kerana dicipta seperti kenderaan premium sedan dan kerangkanya lebih nipis bagi menambah ruang kaki sehingga 10mm kepada penumpang belakang.

Apa yang penting, kerusi pemandu boleh diubah kedudukannya menggunakan kaedah elektronik. Bahagian pemuka hadapan juga mempunyai penyimpan kedua yang berfungsi untuk menyejukkan botol air, selain mempunyai ruang meletak barang di bawah tempat duduk bagi menyimpan barangan berharga.

Sepanjang beberapa hari memandu jentera ini, penulis mendapati paras bunyi, gegaran dan kekasaran berkurangan berbanding varian terdahulu sekali gus rasa selesa yang optimum.


Keupayaan pengendalian

Bagi enjin 2.8 liter ini, penulis boleh dikatakan terbaik kerana kuasa yang dibekalkan cukup mantap sama ada di lebuh raya untuk memecut sehingga 140 kilometer sejam.

Ia juga rasa stabil dan membuatkan lebih yakin untuk mengawal stereng lebi vtork yang hingga 450Nm boleh dirasai sebaik kaki menekan padel minyak.

Kotak gear automatik Super ECT baharu turut menawarkan penukaran gear yang lebih lancar, selain boleh memilih tiga mod pemanduan membabitkan Normal, ECO dan Power.

Ia juga hadir dengan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) yang menyerupai fungsi limited-slip differential (LSD) membolehkan pindahan tork dilakukan kepada tayar kehilangan cengkaman.

Sekiranya meredah laluan lasak, ternyata jentera ini tidak memberi masalah kepada pemandunya kerana sistem berkenaan berfungsi dengan baik untuk melepasi permukaan mencabar itu.

Casisnya juga lebih tegar dengan melebihi 45 peratus titik kimpalan membuatkan kerangka badan tahan lama, selain mampu meningkatkan keselamatan tanpa menambah beratnya. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar