Dayana akan perbaiki kelemahan

Dayana

“Sebagai pelakon, saya memang tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan kontroversi. Bersama Hafidz, ketika ini saya tiada sebarang masalah untuk bekerjasama dalam drama selepas ini,” katanya.

Namanya mula meniti di bibir peminat selepas berlakon dalam drama Asam Pedas Untuk Dia yang bersiaran di kaca televisyen sebelum ini.

Bagaimanapun, baru saja hendak mencipta nama, Dayana Roza sudah terpalit dengan kontroversi apabila dia mengkritik pelakon baru, Hafidz Roshdi sebagai ‘pelakon kayu’.

Selepas kontroversi dengan Hafidz reda, namanya dikaitkan pula dengan isu berhibur di kelab malam.

Namun, Dayana tidak cepat melatah kerana menganggap kontroversi sebagai sebahagian daripada ujian dalam dunia hiburan.

Ditanya sama ada dia memilih hero, Dayana turut menafikannya.

“Sebagai pelakon, tanggungjawab saya untuk melakonkan setiap watak diserahkan dengan baik. Tidak timbul soal memilih hero kerana saya tidak tidak kisah untuk digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki sama ada pendatang baru ataupun yang sudah ada nama,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Dayana mengakui dirinya sudah memiliki kekasih yang dikenali sejak setahun lalu.

“Soal jodoh, kita hanya mampu merancang tetapi hanya Allah yang menentukan segalanya,” katanya.

Enggan lagi mengungkit kontroversi yang melanda, sampai masanya Dayana untuk fokus pada bidang lakonan.

Terbaru, Dayana terbabit dengan penggambaran drama bersiri 100 episod berjudul Lara Aishah.

“Saya ditawarkan watak Wani yang juga antagonis dalam drama ini sekali gus mencabar lakonan. Sebenarnya saya bimbang tidak mampu melakonkan watak antagonis dengan baik kerana sudah dua tahun tidak melakonkan watak sedemikian.

“Saya juga tidak takut dibenci penonton kerana ia sekadar lakonan semata-mata,” katanya.

Drama ini diterajui pelakon seperti Fasha Sandha, Nazim Othman, Shahz Jaszle, Dasqia Dahuri dan Jasmin Hamid.

Dari segi watak pula, kata Dayana, dia ingin melakonkan watak yang berat dan lebih mencabar lakonannya.

“Saya ingin watak yang ada kelainan dalam misi menjadi pelakon yang ‘versatile’ dalam bidang seni tanah air.

“Pada masa sama, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Setiap kali ke lokasi penggambaran, saya akan cuba perbaiki kelemahan dan ambil serius teguran daripada pengarah,” katanya. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar