Emma mahu cuba watak jahat

Emma

Berbual dengan Emma dalam satu pertemuan baru-baru ini, jelas menyerlahkan sisi matang dirinya apabila memberi jawapan. Kata-katanya begitu lembut tetapi tegas dan dia tahu hala tujunya sebagai anak seni.

Populariti diraih pelakon manis, Emma Maembong sedikit pun tidak mengubah dirinya dan masih kekal dengan sikap rendah diri dan peramah.

Kata Emma, walaupun sudah lama jadi pelakon masih banyak lagi watak yang belum pernah dilakonkannya. Malah setakat ini banyak membawakan watak baik dan menjadi mangsa keadaan.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya sudah bosan melakonkan watak baik. Cuma saya teringin juga untuk mencuba karakter lain agar dapat membuktikan diri sebagai pelakon serba boleh,” katanya.

Emma juga tidak hanya menceburi bidang lakonan tetapi juga perniagaan.

Katanya, melihat kerjaya lakonannya kini stabil, dia kini lebih fokus pada perniagaan.

“Itu tidak bermakna saya memperlahankan kerjaya seni sebaliknya dua-dua berjalan serentak. Sebagai pelakon pun, masih banyak lagi yang perlu saya capai terutama dalam pilihan watak.

“Saya teringin berlakon dalam cerita aksi atau membawa watak wanita jahat dan psiko,” katanya.

Emma berkata, selagi dia masih melakonkan watak baik, dia masih berada pada tahap yang sama.

Katanya, dia ingin mengikut jejak langkah Nabila Huda yang boleh membawa watak baik dan jahat.

“Ada pelakon belum cukup dikenali tetapi diberi kepercayaan membawa pelbagai watak.

“Ada juga pelakon yang diberikan rezeki cepat apabila mereka dikenali kerana kemampuan membawa pelbagai karakter,” katanya.

Emma atau Fatimah Rohani Ismail berkata, setakat ini dia belum diberi watak yang memerlukannya membuat persiapan rapi.

Bagaimanapun, katanya, melakonkan watak baik juga mempunyai cabaran tersendiri.

“Saya tidak pernah puas membawa watak baik. Sepanjang berlakon karakter baik yang saya bawa semuanya berbeza.

“Seperti telefilem Pontianak Sesat Dalam Kampung, saya jadi pontianak tetapi baik.

“Saya idamkan watak yang menggunakan kreativiti. Tapi sebab saya selalu bawa watak baik, saya sudah boleh bayangkan cara membawa watak itu.

“Kalau diberi watak jahat, saya terpaksa lihat pelakon lain merealisasikan karakter antagonis. Tapi saya masih menanti peluang melakonkan watak itu,” katanya.

Bagi Emma, penampilan bertudung juga bukan penghalang untuknya mencapai impian itu.

Katanya, ketika belum bertudung pun, ada tawaran tetapi terpaksa ditolak sebab ada babak yang dirasakan kurang sesuai.

“Walaupun mengidamkan watak jahat dan aksi, saya tidaklah terlalu terdesak hinggakan menerima apa saja jenis cerita. Dalam hal ini, saya masih memilih untuk menjaga nama sebagai pelakon.

“Saya memang mahu berlakon wanita psiko, menggoda dan jahat tetapi semua itu haruslah pada batasnya.

“Kalau ada babak yang saya kurang berkenan, saya terpaksa tolak. Saya tidak sanggup menanggung kontroversi semata-mata inginkan watak itu.

“Bagaimanapun, sebelum tolak haruslah ada prosedur dulu. Kita bincang dengan pengarah sama ada boleh diubah atau tidak. Kalau tidak boleh, barulah saya buat keputusan muktamad. Menolak juga harus ada caranya,” kata Emma.

Pernah dikaitkan dengan Zizan Razak kemudian rapat dengan Kamal Adli, terbaru, Emma dikaitkan pula dengan Nazrief Nazri. Pakaian sedondon ketika sama-sama hadir di satu majlis menimbulkan spekulasi yang mereka menjalin hubungan mesra.

Tambah pula mereka digandingkan bersama dalam Nasi Minyak Kuah Kacang. Ia dipaparkan dalam Selebriti ruangan Cik Pang pada 14 Ogos lalu.

Kata Emma, mereka baru digandingkan bersama dalam Nasi Minyak Kuah Kacang. Malah ketika memuat naik gambar bersama ketika hadir di majlis itu, mereka belum pun berlakon dalam babak sama.

“Saya hairan bagaimana cerita itu boleh timbul. Kami digandingkan dalam drama ini buat kali pertama malah penggambaran membabitkan kami pun belum diadakan lagi ketika gambar itu dikongsi.

“Apabila cerita seperti ini timbul, orang yang buat cerita itu tidak hormatkan saya. Mereka yang membaca gosip itu sekali gus membuat andaian saya suka berganti pasangan,” katanya.

Emma berkata, ketika bertemu di majlis itu, dia dan Nazrief datang berasingan dan terserempak di tempat letak kereta lalu naik ke dewan bersama-sama.

“Selepas diminta bergambar bersama, saya dan Nazrief membawa haluan masing-masing,” katanya.

Namun Emma tidak kisah dengan semua itu kerana sudah biasa menjadi bahan perbualan.

Katanya, andai statusnya hanya pekerja di kedai serbaneka sekalipun, pasti ada saja orang yang akan bercakap buruk mengenainya.

“Sama ada saya selebriti atau hanya bekerja di kedai serbaneka, saya tidak dapat lari daripada menjadi perbualan orang. Cuma apabila saya menjadi seseorang yang dikenali, lebih ramai yang akan bercakap pasal saya,” katanya. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar