Jibam, Aydan dan Akhmal

Jibam

“Bila berjalan-jalan di luar, peminat hanya mengenali saya sebagai Jibam dan bukan Akhmal.

Lima tahun membawa watak pelajar sekolah menengah, Jibam dalam siri televisyen popular Oh My English (OME), Akhmal Nazri mendedahkan ingin mencuba watak yang lebih matang dan mencabar.

Bukan sudah penat menjadi Jibam, tetapi pelakon berusia 24 tahun ini mahu keluar dari zon selesanya untuk mengembangkan lagi bakat seninya. Hasratnya tercapai selepas dia membawa watak kasanova dan majikan dalam drama bersiri Lelaki Macam Dia yang kini disiarkan di Astro Ria.

“Tipu kalau saya kata tidak mahu mencuba watak lebih matang yang mencabar. Mungkin sebab sudah biasa menjadi Jibam, pada mulanya saya berasa seperti pelajar itu ketika berlakon watak Aydan.

“Mujur Izreen Azminda memberi tunjuk ajar. Saya bersyukur diberi peluang mencuba karakter berbeza,” katanya pada pelancaran musim baru OME! After School, baru-baru ini.

Selain berlakon drama, Akhmal mendedahkan bakal mengendalikan program bual bicara pagi di saluran Astro dalam masa terdekat ini.

“Kebetulan saya ditawarkan mengacarakan sebuah program dan sudah tentu tidak akan menolak peluang itu.

“Saya terfikir sampai bila membawa watak Jibam dan berharap peminat dapat memahami dan memberi peluang kepada saya untuk mengembangkan bakat sedia ada,” katanya.

Pelakon itu melihat program berkenaan sebagai platfom terbaik untuk memperkenalkan dirinya yang sebenar kepada orang ramai.

“Jadi, buat masa ini, saya mahu fokus menjadi pengacara. Saya berpendapat pelakon perlu menceburi bidang lain dan bukan satu bidang saja,” katanya.

Mengenai OME! After School, Akhmal berkata, dia kembali dalam musim baru itu kerana jalan cerita yang ditampilkan berbeza.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar