Kamal Adli diragut


"Kesilapan sendiri juga memandangkan ketika kejadian saya leka mengambil gambar pemandangan sekeliling. Beg sandang berkenaan saya letakkan di atas bagasi pakaian. "Kejadian berlaku dengan pantas apabila sekelip mata ia hilang. Memang peluh sejuk terus mencurah-curah mengenangkan pasport juga disimpan dalam beg itu selain duit belanja sepanjang perjalanan di negara orang," katanya.

Kembara Kamal Adli ke negara Eropah bulan lalu selaku hos program travelog, From Spain To Morocco mengalami insiden getir apabila menjadi mangsa ragut di Barcelona, Sepanyol. Beliau bukan sekadar kehilangan wang tunai RM10,000, malah beg yang dilarikan turut memuatkan pelbagai dokumen penting, termasuk MyKad, pasport antarabangsa dan visa.

Kamal berkata, beliau agak bernasib baik kerana ketika itu ada sedikit wang simpanan di dalam akaun bank. "Cuma proses penggantian pasport dan visa agak renyah, namun saya berterima kasih mendapat bantuan Kedutaan Malaysia di London dan pihak imigresen.

"Pengalaman itu memang sedih untuk dikenang. Dalam kita berjaga-jaga pun, barang berharga lesap begitu saja," katanya yang menjayakan program berkenaan untuk siaran RTM. Akui pelakon berkenaan, kejadian itu berlaku di hadapan premis hiburan, Hard Rock Cafe di Barcelona ketika ramai orang berpusu-pusu keluar masuk hingga menyukarkannya mengesan kelibat pencuri terbabit.

Terdahulu, selain menjayakan rancangan makan angin itu, Kamal turut menjalani penggambaran telefilem berjudul Gracias di Barcelona selama empat hari bergandingan dengan Fathia Latiff. "Saya buat pasport baharu di London. Soal ini memang rumit kerana pasport dan visa bukan boleh dapat serta merta.

"Saya dapat kembali pasport baharu dalam tempoh seminggu. Saya nak ucapkan terima kasih kepada di sana kerana banyak membantu memudahkan proses berkenaan," katanya. - BHarian

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar