Mas Khan top 5 Pelakon Baharu Lelaki Terbaik


“Saya tak sangka tercalon Top 5 menerusi filem ini. Satu kejutan buat saya kerana filem ini gagal menarik perhatian penonton sebaliknya menjadi pilihan juri. Namun, saya tidak mahu bersikap bongkak hanya kerana berada di kedudukan lima terbaik.

Biarpun masih hijau dalam dunia lakonan, Mas Khan mampu tersenyum lebar apabila bakat lakonannya mendapat perhatian juri selepas tercalon dalam kategori Pelakon Baharu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) menerusi filem Biasan.

Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan, 22, berkata, walaupun banyak pihak mempertikaikan bakat lakonannya, pemilihan itu membuatkan dia lebih yakin di mata juri dia boleh berlakon.

“Saya masih budak baru yang perlu belajar banyak perkara. Kalau saya menang pun, tidak bermakna saya sudah bagus. Cuma apa yang ingin saya buktikan adalah bakat lakonan. Minat yang ada dalam diri mengatasi segalanya.

“Walaupun saya dibayar sedikit untuk membintangi filem ini, saya tetap memberikan 100 peratus komitmen. Alhamdulillah, usaha itu berbaloi sehingga mendapat perhatian juri,” katanya.

Menurut Mas Khan yang juga pelakon drama Gerak Khas, dia menyifatkan watak dalam filem adalah lakonan terbaiknya sepanjang lebih dua tahun berlakon.

Masakan tidak, untuk filem itu pelakon berdarah campuran Pakiskan di sebelah bapanya ini sanggup tidak tidur selama tiga hari semata-mata mahu menghayati watak sebagai lelaki psiko.

“Saya sengaja memberi tekanan kepada diri sendiri untuk mendapatkan ‘mood’. Bukan mudah untuk saya melakonkan watak lelaki psiko. Cara terbaik adalah dengan melanggar rutin harian seperti tidak tidur dan berdiet selama sebulan.

“Hasilnya saya puas hati kerana watak itu menjadi. Malah saya menganggap ia lakonan terbaik saya sepanjang bergelar pelakon,” katanya.

Menurut Mas Khan, kritikan yang dilemparkan kepadanya dianggap sebagai pembakar semangat untuk memajukan diri.

“Apa saja kritikan yang diberikan saya terima dengan hati terbuka. Bagi saya, kalau bukan sekarang bila lagi orang mahu menegur? Paling penting saya tidak pernah terasa hati atau menganggap ia satu penghinaan.

“Malah ibu bapa pernah mengkritik lakonan saya. Sejak itu saya nekad memperbaiki mutu lakonan. Tetapi lumrah apabila masih ada yang seolah-olah memandang rendah kehadiran saya sebagai pelakon.

“Perkara itu sekali gus menjadikan saya lebih bersemangat. Kalah betul saya tak boleh berlakon, kenapa masih ada tawaran yang datang? Jadi apa pun yang orang nak perkatakan, saya tetap percaya kepada rezeki Allah,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonannya, Mas Khan bakal melebarkan sayapnya ke Indonesia apabila terbabit dalam penggambaran drama 120 episod.

Drama itu dijangka memulakan penggambaran pada hujung tahun ini bersama pelakon Indonesia.

“Ini satu lagi peluang yang saya tidak boleh lepaskan. Saya menjadikan projek ini sebagai satu cabaran. Dalam bidang ini saya tidak mahu membataskan diri. Selagi ada peluang dan ruang yang lain, saya akan terus mencuba.

“Mungkin ramai berpendapat masih terlalu awal untuk saya ke luar negara kerana perlu mengukuhkan nama di negara sendiri dahulu. Tetapi, bagi saya ini adalah permulaan untuk menjenamakan diri sendiri,” katanya.

Selain itu, Mas Khan juga muncul dalam filem Abang Long Fadil 2 yang akan ditayangkan tahun depan. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar