Program Aura Bintang di Salam HD


Program menarik bertajuk Aura Bintang terbitan A.Aida Production akan bersiaran setiap Rabu mulai malam, jam 8 malam di rangkaian televisyen Internet, HyppTV.

Program 13 siri ini menarik kerana mengulas penghijrahan artis yang pernah melalui pengalaman berbeza dalam karier seni mereka.

Penerbitnya, Datuk Zaidah Awang atau A Aida, 45, berkata, konsep yang ditampilkan dalam Aura Bintang agak santai kerana matlamatnya mahu mendidik masyarakat sambil berhibur.

“Bagi musim pertama ini, saya tampilkan nama-nama besar yang dikenali ramai iaitu Sherry Ibrahim, Adam Korie, Ana Dahlia, Faye Kusairi, Amy Mastura dan ramai lagi.

“Boleh dikatakan ini sebuah program yang segar kerana rakamannya baru saja selesai Julai lalu dan terus disiarkan kepada penonton bulan ini.

“Program ini dihasilkan khusus buat penonton Salam HD (saluran 113),” katanya.

Menurut Aida, pemilihan artis dibuat agak teliti kerana dia mahukan artis yang terbabit melakukan penghijrahan sebenar dalam hidup dan bukan bersifat sementara.

“Tak kisah samada artis ini penyanyi atau pelakon kerana yang penting mereka berhijrah ke arah kebaikan.

“Aura Bintang memang fokus kepada perubahan positif artis selepas mereka berhijrah.

“Saya mahu tunjukkan tidak semestinya apabila berhijrah pergerakan mereka terbatas. Mereka masih boleh berada dalam industri hiburan asalkan tahu jaga diri dan tidak melanggar syariat,” katanya.

Program berbentuk majalah ini menampilkan empat segmen iaitu Hijrah yang mengupas inspirasi dan halangan ketika artis melakukan penghijrahan, Addin (kisah kehidupan mereka dan keluarga terkini), Islam (nasihat serta impian mereka daripada sudut keagamaan) dan Kifayah (sumbangan mereka kepada orang ramai).

“Saya percaya program sebegini sedikit sebanyak boleh mendidik masyarakat. Dalam berhibur, ada nilai positif yang ditampilkan dalam Aura Bintang.

“A Aida Production akan sentiasa menampilkan program berkonsep keagamaan sebagai nilai tambah kepada masyarakat,” katanya. - HMetro

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar