Fasha menjadi contoh pelakon lain


"Ini bukan gandingan kami yang pertama tetapi menerusi drama bersiri 100 episod ini saya dapat berlakon dalam tempoh lama dengannya. Seperti dikongsikan pelakon lain yang pernah bekerja dengan Fasha, sememangnya benar apa yang diperkatakan.

Aktor, Nazim Othman mengakui kesungguhan Fasha Sandha menjaga disiplin sepanjang penggambaran serta komitmen terhadap watak digalas membuatkan beliau menjadi contoh kepada pelakon lain. Katanya, pengalaman bekerjasama hampir setengah tahun di lokasi drama bersiri adaptasi berjudul Lara Aishah memperlihatkan komitmen aktres berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Beliau amat berdisiplin dan menjaga waktu. Secara tidak langsung aura yang disebarkannya menjadikan orang lain juga terkena tempias positif dan memastikan masing-masing mengikut jadual ditetapkan. "Kiranya penggambaran yang berlangsung dalam tempoh panjang ini juga berlangsung dengan baik. Tanpa masalah suasana di lokasi juga sangat harmoni kerana semua pelakon termasuk senior serta kru saling bekerjasama.

"Malah Fasha juga teman gandingan yang sangat memahami karektor lawan kerana emosi untuk sesuatu babak dijaga dengan baik. Sebagai contoh seperti babak menangis, andai kamera dihalakan kepada saya pun beliau tetap konti dalam mood berkenaan.

"Sudah pasti dia menjaga moodnya dengan baik demi memastikan pelakon gandingan dapat mempersembahkan lakonan yang seiring," katanya mengenai drama yang menjalani penggambaran sejak April lalu dan dijangka tamat Disember ini. Selain Nazim dan Fasha, Lara Aishah yang turut dibintangi Ainul Aishah, Dian P Ramlee, Jasmin Hamid dan Datuk Eizlan Yusof disiarkan di Astrio Prima bermula 29 Ogos lalu.

Drama terbitan Global Station Sdn Bhd dengan kerjasama stesen televisyen Mexico, TV Azteca adalah adaptasi daripada siri telenovela negara itu yang popular berjudul La Loba. Ia memaparkan konflik kekeluargaan serta perbezaan antara dua kelas masyarakat sekali gus memperlihatkan jurang yang lebar membabitkan golongan kaya serta orang miskin.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar