Filem Misi Operasi X (MOX) arahan Zulkifli M Osman


Menurut Zulkifli filem Misi Operasi X itu menelan belanja RM5 juta kerana lebih 50 peratus babak dalam M.O.X menggunakan teknologi CGI (imej janaan komputer).

“Bagaimanapun, kami dapat ‘berjimat’ untuk kos CGI kerana mendapat bantuan daripada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi).

Melihatkan senario penerbitan filem hari ini, Datuk Zulkifli M Osman percaya filem aksi arahan terbarunya, Misi Operasi X (M.O.X) akan diterima baik oleh peminat filem Melayu.

Selama 10 tahun skrip filem yang ditulisnya itu tersimpan kerana tiada yang berminat untuk menerbitkannya sehinggalah dia bertemu penerbit Wall World Pictures Sdn Bhd Datuk Dr Mohd Arif Mansor dan Datin Nur Aishah Hussein.

Selesai segala perbincangan, persediaan untuk penggambaran itu dibuat dengan mengambil bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelima, Ebi Kornalis memegang peranan utama sebagai perisik bernama Don Pedro dan heroinnya pelakon berasal dari Indonesia, Tya Arifin.

Penggambaran dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Cameron Highlands dan menggunakan ‘green screen’ untuk mendapatkan gambaran yang filem itu turut dirakamkan di Alaska, India, Syria dan Jordan.

Pembikinan filem itu baru saja selesai minggu lalu.

“Alang-alang 10 tahun menunggu untuk kelahiran filem ini, saya mahu melakukan yang terbaik. Sejak dulu jiwa saya memang suka mengarah filem aksi, antara yang pernah saya hasilkan filem Pelumba Malam.

“Bagaimanapun, saya kena mengkaji dan melihat juga kepada ‘trend’ penerbitan filem dan minat penonton sekarang. Saya dapati bermula tahun lalu ada pengarah yang menghasilkan filem aksi seperti Syamsul Yusof dan sambutan penonton sangat bagus,” katanya.

Lantaran itu, Zulkifli percaya sudah bermula kembali era pembikinan filem aksi.

“Sekarang pembikinan filem aksi lebih mudah dengan penggunaan teknologi terkini dan hasilnya setiap babak akan kelihatan lebih ‘natural’ serta meyakinkan. Dulu telefon bimbit pun orang jarang pakai tetapi sekarang dengan telefon pintar orang boleh merakamkan macam-macam,” katanya.

Berkongsi keterujaan Zulkifli mengarahkan filem M.O.X, sebaik saja penerbit menyatakan persetujuan untuk menerbitkan filem itu, dia tidak sabar turun ke lokasi.

“Lama saya tunggu peluang itu. Pemilihan Ebi sebagai hero M.O.X kerana tahun lalu saya mengambilnya berlakon dalam drama arahan saya mengisahkan pahlawan Sabah.

“Saya lihat ketangkasannya membawakan watak itu lalu meyakinkan dia pelakon paling layak untuk membawakan peranan Don Pedro.

“Dulu dia juga seorang atlet lantas Ebi mempunyai susuk tubuh seorang ahli sukan yang sasa dan pernah digelar ‘iron man’. Untuk memantapkan lagi wataknya sebagai perisik saya menghantarnya menjalani senaman selama dua bulan,” katanya.

Tya pula dilamar untuk disesuaikan dengan watak Fifi sebagai ejen perisik antarabangsa dari Indonesia.

Barisan pelakon lain turut mewarnai filem itu, Shareeta Devi Slvaraj ( Zeera), Jefry Omar (Komander Moshie), Adam Shahz (Jeefro), Zaidi Omar (Mr M), Radhi Khalid ( Prof Q) dan Jeganathan Pithavadian (Mr Suresh).

M.O.X yang akan masuk pawagam tahun depan akan dilancarkan serentak di empat negara - Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Cabaran utama Zulkifli dalam pembikinan filem itu ialah menggunakan kereta mewah dan helikopter.

“Namun saya sentiasa pastikan tidak melampaui bajet, lantas ia memerlukan kepakaran dan kreativiti yang tinggi untuk adegan yang membabitkan kenderaan mewah dan aksi lasak lain,” katanya.

M.O.X mengisahkan perisik bernama Don Pedro (DP) ditugaskan menumpas kejahatan yang dirancang Operasi Komander Morshie yang cuba mengancam dunia menggunakan senjata pemusnah luar biasa ciptaannya iaitu senjata KFR13

Ketika DP melakukan misi rahsia di Filipina dia sudah menyelamatkan seorang penuntut Malaysia (Martias) yang berjaya menghidu niat KFR13 dan formula senjata KFR13.

Semenjak itu ejen KFR13 sering mengekori DP untuk menghapuskan bukti di samping cuba membunuhnya. DP menyedari dia diekori tetapi berjaya melaporkan perkara itu kepada Ketua Perisik Persekutuan di Malaysia, Mr M.

Pelbagai cabaran hebat dilalui DP sehinggalah dia bertemu bekas kekasihnya (Fifi) yang sebelum ini dianggapnya sudah terkorban.

Siapakah Fifi sebenarnya dan berjayakah DP menewaskan Komander Moshie dan memusnahkan lokasi HQ kawalan senjata pemusnah hanya beberapa jam sebelum Asia akan dimusnahkan oleh pengganas KFR13? - Nor Akmar Samudin

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar