Mawar sukar menangis


Sanggup mengetepikan tawaran lain selama tiga bulan demi Suami Paling Sweet, Mawar berkata, beliau berdebar menantikan reaksi penonton.

Pelakon baharu, Mawar Rashid, mengakui menghadapi kesukaran melakonkan babak air mata dalam drama bersiri Suamiku Paling Sweet, yang bakal disiarkan di TV3. namun akhirnya berjaya menghayati karektor itu.

Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 21, mengakui kurang yakin pada mulanya untuk menggalas watak itu hingga menjejaskan tumpuan ketika penggambaran.

"Saya memulakan kerjaya menerusi drama bersiri Tundukkan Playboy Itu dan tidak sangka sejurus selepas itu diberikan tawaran membawakan watak utama pula. Sejujurnya saya kurang yakin untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

"Sebagai orang baharu di bidang ini, masih banyak yang perlu saya belajar terutama melakonkan adegan membabitkan air mata. "Berkat bimbingan pengarah berpengalaman, Zulhuzaimy dan sokongan pelakon lain, saya dapat menghayati watak gadis bernama Qisha Airis iaitu si periang yang berhadapan konflik apabila terpaksa berkahwin dengan jejaka bukan pilihan hatinya," katanya kepada BH Online.

"Saya harap kemunculan sebagai teraju utama ini dapat memuaskan hati penggemar apatah lagi selepas melakukan pengorbanan menolak beberapa undangan daripada penerbit lain," katanya yang dicungkil bakat menerusi sebuah program pertandingan ratu remaja.

Drama bersiri 28 episod yang turut menyaksikan gandingan sulung aktres dan model berusia 21 tahun itu bersama Syafiq Kyle bakal disiarkan dalam slot Akasia. Sementara itu, Mawar juga merancang memantapkan lagi mutu lakonan sekali gus menjadi aktres versatil dengan mengikuti kelas bimbingan tenaga pengajar berpengalaman.

"Inilah antara inisiatif saya untuk menjadi pelakon serba boleh. Saya sangat meminati karisma pelakon berkaliber seperti Fauziah Nawi dan Elly Suriati. Kalau boleh saya mahu rebut peluang belajar dengan mereka," katanya. - BHarian

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar