Ramai puji Alif Satar banding Zizan

Alif Zizan

“Setiap pengacara ada kelebihan dan cara mereka sendiri ketika mengendalikan program. Begitu juga saya dan Alif. Walaupun baru kali pertama bergandingan, kami tiada masalah untuk mendapat keserasian di pentas AF. Saya juga akan memperbaiki kelemahan sedia ada dan berusaha memberikan komitmen terbaik pada AF,” katanya.

Zizan Razak tidak melatah apabila ramai memuji Alif Satar berbanding dirinya ketika mereka mengendalikan program realiti popular Akademi Fantasia (AF) 2016 yang bermula 21 Ogos lalu.

Alif yang kali pertama kali dipilih sebagai hos AF dikatakan jauh lebih baik berbanding Zizan yang sudah empat musim menjadi hos program berkenaan.

Malah, ramai yang memuji kredibiliti Alif sehingga menjadi trending di Twitter selepas dia diumumkan sebagai hos pada konsert pertama AF2016, baru-baru ini.

Zizan, 32, ketika ditemui berkata, dia melihat kritikan itu dari sudut yang positif selain bersyukur masih dikekalkan sebagai hos AF.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa, kata Zizan, dia juga memiliki pengurus dan pihak pengurusan yang mengatur jadual kerjanya.

“Saya pernah jatuh sakit kerana jadual kerja yang padat sebelum ini. Menurut doktor, otot saya mengalami tekanan kerana bekerja tanpa rehat.

“Justeru, saya perlu bijak membahagikan masa supaya lebih teratur dan bergerak seiringan,” katanya.

Ditanya mengenai kontraknya bersama pengurusan Astro, Zizan berkata, ia akan berakhir pada tahun depan.

“Saya hanya serahkan kepada pihak pengurusan untuk menyambung kontrak ataupun sebaliknya. Selain itu, saya juga terbabit dalam projek filem baru iaitu Polis Evo 2,” katanya.

Selain bidang seni, pelakon, Zizan juga meminati sukan permotoran sejak kecil.

Bermula dengan Go Kart, anak jati Terengganu ini menyimpan impian bergelar pelumba kereta profesional sejak kecil.

Bersandarkan bakat dan minat mendalam, Zizan yakin impiannya itu berjaya direalisasikan dengan bimbingan jurulatih profesional.

Bukan sekadar angan-angan apabila dirinya terpilih sebagai pelumba selebriti rasmi pasukan Mayhem Motorsports dengan kerjasama Prince Lubricants sempena Malaysian Speed Festival 2016.

Menyusul selepas itu, Zizan bersama pasukan Mayhem akan berentap di Sepang 1000km Endurance Race bermula semalam hingga 4 September ini anjuran Sepang International Circuit Sdn Bhd.

Secara peribadi, Zizan mengakui dia serius untuk menceburi kerjaya sebagai pelumba kereta dan mengikuti segala kemahiran yang ditetapkan dalam sukan permotoran itu.

“Saya akui sukan permotoran ini memang berbahaya dan berisiko tinggi. Namun, ia bukan halangan untuk memberikan yang terbaik pada musim perlumbaan kali ini.

“Selain memiliki lesen, saya juga perlu mengetahui segala kelengkapan diperlukan pelumba kereta. Saya juga banyak mendapat bimbingan ketua pasukan Mayhem Motorsports yang juga pelumba kereta terkenal, Keifli Othman serta jurulatih pasukan.

“Saya juga menaruh harapan untuk mencapai sasaran dalam perlumbaan kali ini. Buat masa ini, kami juga giat berlatih dalam satu pasukan dengan bimbingan jurulatih,” katanya.

Bercerita perancangannya sebagai pelumba kereta, kata Zizan, dia juga impikan beraksi di litar peringkat antarabangsa.

“Buat masa ini, saya ingin menimba pengalaman beraksi dalam negara dulu sebelum menyertai perlumbaan di luar negara,” katanya.

Selain Zizan dan pelakon Faye Kusairi, Mayhem FX-Tune turut memperkenalkan pemandu profesional dengan teknik drift, ‘Print of Drift’ Tengku Djan Ley. - BHarian

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar