Reen Rahim terus berusaha tidak mahu kecewa

Reen

Hampir lima tahun berusaha membina nama dalam bidang lakonan, Reen berkata bukan mudah untuk dia menempatkan diri dan mencipta nama dalam dunia seni kerana pelbagai onak dan duri sudah dan terpaksa ditempuhi.

Kalau diukur dari segi kedudukannya dalam industri seni, pelakon Reen Rahim, 28, belum lagi berada dalam kelompok penggiat popular.

Namun, kegigihan Reen dalam mengetengahkan bakat lakonannya di persada seni tanah air seharusnya dipuji.

Selain aktif membintangi drama, Reen atau Noreen Ashikin Abdul Rahim turut diberi peluang penerbit dan pengarah untuk beraksi di layar perak.

Hingga kini, dia sudah membintangi beberapa filem termasuk yang terbaharu Mawar Putih arahan seniwati tersohor, Datuk Rosnani Jamil dan ditayangkan di pawagam pada 18 Ogos lalu.

Menariknya filem Mawar Putih menggabungkan pelakon dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia dan karya terakhir Rosnani atau lebih mesra dengan panggilan Mak Nani.

Sebelum ini, seniwati serba-boleh itu mengumumkan filem Mawar Putih adalah karya terakhirnya dan dia mahu berehat daripada dunia seni.

Berkongsi pandangan mengenai filem lakonan terbaharunya, Reen ternyata berasa kecewa apabila ia kurang mendapat sambutan sepanjang tempoh ditayangkan di pawagam sedangkan Mawar Putih adalah karya terbaik.

“Apatah lagi, filem itu dihasikan dengan sungguh teliti oleh Mak Nani. Terlalu banyak ilmu saya peroleh dan pengalaman menarik sepanjang terbabit dalam penggambaran filem Mawar Putih.

“Cuma disebabkan situasi industri perfileman tidak menentu dari sudut sambutan membuatkan saya sukar memahami kehendak sebenar penonton,” katanya.

Sedangkan tegas Reen, daripada aspek pengarahan dan komitmen pelakon, mereka sudah memberikan yang terbaik.

“Antaranya, meyakinkan penonton terhadap persembahan saya di layar perak walaupun sebelum ini ramai yang memuji setiap kali drama lakonan saya disiarkan di kaca TV.

“Bagaimanapun, saya tidak kecewa. Saya sentiasa berpegang pada kata azimat, bukan mudah untuk meraih sesuatu kejayaan.

“Selagi rezeki ditetapkan Tuhan itu belum berpihak kepada saya, sebagai manusia biasa saya perlu cekal dalam berhadapan dengan sebarang kegagalan dan teruskan usaha,” katanya.

Reen mempamerkan lakonan mantap dalam drama Sayangku Kepten Mukhriz disiarkan slot Akasia TV3 berkata, dia sangat berterima kasih kepada sokongan penonton.

“Apapun, saya minta maaf kepada semua peminat drama itu kerana tidak dapat hadir pada majlis pratonton episod akhir yang berlangsung Selasa lalu.

“Ketidakhadiran saya kerana terikat dengan penggambaran filem terbaharu, KL Vampires di samping pelakon Aeril Zafrel, Josiah Hogan, Raja Ilya serta Donny Alam Shah dan Yayan dari Indonesia,” katanya.

Reen yang muncul juara program realiti pencarian bakat lakonan, Pilih Kasih musim ketiga disiarkan RTM pada 2011 turut membintangi filem Soulmate.

Filem arahan Datuk A Razak Mohaideen itu menggandingkan Reen dengan pelakon ternama tanah air antaranya Erra Fazira dan penyanyi dari Singapura, Taufik Batisah.

“Saya pun tidak sangka rezeki dan peluang beraksi di layar perak masih lagi diterima walaupun beberapa filem dibintangi sebelum ini gagal di pawagam.

“Bagi saya, mungkin saya sudah memberi yang termampu untuk menjiwai setiap karakter dengan baik.

“Bahkan, saya tiada masalah membentuk keserasian dengan pelakon yang digandingkan walaupun baru kali pertama bekerjasama.

“Saya cuba sedaya upaya memberikan hasil kerja terbaik yang diinginkan pengarah terhadap sesuatu karakter,” katanya.

Menurut Reen, dia sentiasa bersikap positif dan terbuka menerima teguran terhadap mutu lakonannya.

Setakat ini, antara filem lakonan Reen yang ditayangkan di pawagam ialah Gangster Celop, Mirip dan Mawar Putih.

Biarpun bakat lakonan masih belum mendapat sebarang anugerah, Reen tetap berbangga dengan pencapaiannya yang dicalon dalam Top 5 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di kemuncak Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) lalu.

Tewas ditangan pelakon Raja Ilya, Reen layak dicalonkan menerusi drama Talak yang dibintangi bersama Fizo Omar dan Diana Danielle.

Selain mendapat peluang melakonkan watak baik, Reen yang berasal dari Klang, Selangor turut tidak lepaskan peluang untuk menjayakan karakter antagonis seperti dipersembahkan dalam drama Hidayahmu Ramadan untuk TV3.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar