Telefilem Cik Oxford Mr Mesir lakonan Kamal Adli dan Zahirah


Cik Oxford Mr Mesir mengisahkan pasangan muda, Iris dan Farhan yang bercinta membuat perjanjian sumpah setia tidak akan berjumpa selagi tidak menamatkan pengajian di luar negara.

Video COMMesir

Iris berasal dari keluarga moden melanjutkan pengajian di London, manakala Farhan pula dari keluarga yang sederhana dan mengamalkan gaya hidup lama melanjutkan pengajian di Mesir.

Selama beberapa tahun, mereka hanya berhubung melalui e-mel dan telefon tanpa melihat wajah terkini masing-masing. Konflik mula tercetus apabila mereka menamatkan pengajian dan bertunang.

Pelbagai insiden lucu berlaku apabila mereka cuba menyesuaikan diri di antara satu sama lain.

Pengalaman mendewasakan kita dan bagi pengarah Mohd Azhar Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Apache, cabaran di lokasi penggambaran drama bukanlah perkara asing.

Dia menggunakan pengalaman 25 tahun di belakang tabir dengan memberikan hasil kerja terbaik menerusi telefilem Cik Oxford Mr Mesir lakonan Kamal Adli dan Zahirah McWilson.

Sebelum projek itu bermula, Apache sudah berdepan dugaan besar namun dia mengambil pendekatan bertenang sehinggalah karya ini dapat disiapkan dengan sempurna.

Biarpun ini bukan arahan pertamanya untuk genre komedi romantik, Apache tetap komited menyiapkan telefilem yang bakal ditayangkan menerusi saluran Astro Ria pada 24 September nanti.

“Pengalaman mengarah telefilem ini sangat menarik. Kami teruja dapat menghasilkan naskhah hebat ini. Setiap babak yang dilakukan dan komitmen ditunjukkan semua pelakon sangat bagus.

“Mana-mana produksi pasti akan berdepan masalah serupa tetapi saya beruntung kerana dibantu kru yang profesional sehingga segala-galanya berjalan lancar.

“Semuanya bekerja sepenuh hati. Itulah juga pesanan saya kepada semua setiap kali bekerja. Apabila bekerja dengan semangat yang tinggi, hasil yang diperoleh tentunya terbaik,” katanya.

Apache yang dua kali bergelar Pengarah Fotografi Terbaik Anugerah Skrin berkata, antara cabaran yang terpaksa dihadapi ialah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan pelakon dan kru.

“Kebanyakan babak dibuat di luar dan sedikit sebanyak ia boleh memberi kesan kepada semua. Apa yang saya risau akhirnya benar-benar belaku apabila Zahirah terpaksa balik awal kerana tidak sihat.

“Penggambaran juga terpaksa disambung keesokan harinya. Namun, pujian perlu diberikan kepada Zahirah kerana sangat berdisiplin.

“Dia tak pernah datang lewat berbanding artis lain. Bagi saya pelakon tidak boleh lewat tiba di lokasi kerana ia akan mengganggu proses kerja. Semua kru dan jurusolek datang awal, takkan nak biarkan mereka menunggu,” katanya.

Lebih teruk lagi, kelewatan artis hadir ke lokasi menyebabkan kos sewa lokasi akan meningkat berbanding kos asal yang diperuntukkan penerbit.

“Saya puji sikap Scha Al Yahya, Nora Danish, Erra Fazira, Fasha Sandha dan Hanis Zalikha yang sentiasa menepati masa. Sikap begini meletakkan nama mereka dalam senarai utama pilihan penerbit,” katanya.

Menurutnya, Cik Oxford Mr Mesir sebuah naskhah yang santai tetapi menyelitkan banyak pengajaran untuk tatapan penonton.

“Iris dan Farhan menjalin hubungan tanpa diketahui keluarga mereka. Perbezaan darjat mengganggu kelancaran hubungan mereka.

“Iris yang mengamalkan gaya hidup moden berhijab selepas mengalami pengalaman buruk di London. Dia mula mendalami agama dan berubah menjadi lebih baik.

“Manakala Farhan yang berperwatakan seperti ustaz berubah menjadi lelaki yang lebih moden tetapi masih berpegang pada ajaran agama kerana mengalami kejutan budaya ketika berada di Mesir.

“Saya yakin penonton pasti terhibur dengan jalan cerita telefilem ini,” katanya.

Apache berkata, dengan skrip yang menarik serta lakonan hebat setiap pelakon, Cik Oxford Mr Mesir pasti memenuhi selera penonton apabila ke udara nanti.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar