Drama terbaru lakonan Azrel Ismail dan Ben Amir

Ben Azrel

“Ramai rakan seangkatan saya muncul daripada program pencarian model seperti Syafiq Kyle, Fattah Amin dan Saharul Ridzwan. Tidak pernah timbul rasa kurang senang walaupun mereka berjaya lebih awal daripada saya,” kata Ben yang akan muncul dalam drama Suri Hati Mr Pilot mulai 10 Oktober ini.

Azrel pula kini baru memulakan penggambaran filem Pulang dan drama bersiri 20 episod, Cucu Tauke Beras untuk siaran TV3.

Populariti mampu menjanjikan kejayaan bagi seseorang artis. Namun begitu populariti juga mampu menghanyutkan sekali gus membunuh kerjaya artis itu sendiri.

Bagi dua pelakon yang sedang meningkat naik, mereka tentunya tidak dapat lari daripada populariti. Namun sebagai pelakon baru, Azrel Ismail dan Ben Amir mempunyai strategi tersendiri dalam membawa nama mereka bergerak selari bakat.

Azrel, 32, yang mula popular menerusi drama bersiri Syurga Nur berkata, populariti mula membawa perubahan dalam hidupnya.

“Tidak dinafikan sekarang kalau saya ke tempat awam, orang akan menyapa. Bagi saya, ia satu perkembangan positif. Jadi saya akan membalas sapaan mereka itu dengan senyuman atau salam.

“Jadual kerja saya pun semakin padat. Berlakon memang memerlukan banyak masa dan kesabaran. Bagi saya populariti adalah perkara kedua,” katanya kepada BLING!

Menurut Azrel yang baru dua tahun bertatih sebagai artis, dia juga tidak menolak kenyataan kontroversi mampu menaikkan nama seseorang artis.

“Syukurlah mungkin kerana masih baru, tidak banyak kontroversi tempias kepada saya tapi baru-baru ini ada juga beberapa cerita mengenai saya yang dikaitkan dengan Ruhainies.

“Pada pendapat saya, kontroversi ada baik dan buruknya. Dari sudut positif, kontroversi secara tidak langsung membuatkan nama seseorang itu menjadi viral.

“Selagi kontroversi yang wujud itu tidak memberikan kesan negatif kepada saya, saya terima dengan terbuka,” katanya.

Ben yang mula dilihat bakatnya menerusi drama bersiri Mariam Alisa yang disiarkan di TV3 pula akui dia mahu menggilap kemampuannya ke tahap yang terbaik kerana itu adalah tujuan utamanya bergelar anak wayang.

“Industri ini adalah tempat saya mencari rezeki dan mengembangkan karier saya sebagai pelakon. Selagi saya boleh elak daripada terpalit dengan sebarang kontroversi yang teruk, saya akan cuba.

“Sesetengah artis melangkah ke dalam industri untuk mencari populariti semata-mata namun saya benar-benar mahu mencuba bakat lakonan,” katanya bersungguh-sungguh.

Kata pelakon berusia 26 tahun ini lagi, dia juga mengakui kurang selesa sekiranya terpalit dengan sebarang kontroversi.

“Biarlah orang kenal saya menerusi lakonan saya. Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Ditanya strategi untuk mengekalkan nama dalam lakonan Azrel berkata: “Banyak usaha perlu dilakukan untuk memastikan nama kita sebagai pelakon, terus kekal dan bertahan lama. Paling utama adalah berdisiplin.”

Ben pula menegaskan untuk terus berjaya tidak perlu wujud rasa iri hati dengan kejayaan orang lain.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar