Filem Rock Bro! tayang 27 Oktober ini


Filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd yang bakal ditayangkan mulai 27 Oktober ini turut menampilkan Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Datuk Hattan, Khir Rahman dan ramai lagi.

Garapan terbaru sutradara prolifik, Mamat Khalid, Rock Bro! bakal menjadi pelengkap serta penutup filem Rock serta Rock O yang mengang­kat kisah perjuangan rockers tanah air era 80-an serta 90-an.

Menariknya, garapan Mamat kali ini lebih personal, bukan ha–nya memaparkan era rock 90-an yang kian malap namun turut mengupas kembara hidup setiap anggota band Rimba Bara dari zaman kanak-kanak hingga usia senja.

Menerusi Rock Bro, pengikut setia trilogi ini akan dibawa ke zaman kegemilangan serta kejatuhan muzik rock tanah air yang menjadi nostalgia khususnya mereka yang berada pada era itu.

‘Magis’ itulah yang mengikat Khir Rahman dan Pekin Ibrahim untuk menggalas tanggungjawab sebagai teraju utama trilogi Rock.

Bagi Khir, trilogi garapan Mamat ini bukan sekadar filem tetapi ia metafora dunia rock tanah air dan ia tribute untuk muzik rock tanah air.

“Ia menyingkap apa yang berlaku pada zaman kegemilangan serta kejatuhan genre itu. Rock cukup dekat di hati saya bahkan ia magis. Pengkarya pada zaman itu boleh merasai inilah dunia mereka.

“Berdasarkan komen yang saya terima daripada mereka menerusi Rock dan Rock Oo, majoriti rockers kita suka garapan Mamat malah ada yang menangis terkenang suka duka perjuangan mereka satu ketika dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar filem berkenaan di Ipoh, Perak pada 4 April lalu.

Khir terharu apabila menerima panggilan daripada produksi Rock Bro! dua minggu sebelum penggambaran kerana pada awalnya dia difahamkan watak Jojie mungkin dijayakan pelakon lain.

Tawaran tidak diduga itu disambut Khir dengan penuh syukur malah persetujuan dibuat atas dasar silaturrahim dan sayang terhadap karya terbabit.

“Saya sayang Rock. Filem ini melonjakkan nama saya sebagai pelakon. Rock terbukti ada peminat tersendiri malah mencatat sejarah baru panggung tempatan apabila siri kedua, Rock Oo lebih tinggi kutipan daripada Rock.

“Berdasarkan perkembangan positif itu, saya yakin Rock Bro! akan dapat sambutan. Saya harap ia menghiburkan dan penonton suka,” katanya.

Menyentuh watak Jijoe, Khir berkata, kali ini lebih berat apabila menjadi tulang belakang Rimba Bara. Malah Mamat menonjolkan sisi peribadi rockers itu yang belum pernah dikongsi dengan penonton menerusi dua karya terdahulu.

“Biar apapun dugaan menimpa Rimba Bara, Jijoe tetap meneruskan perjuangan band ini. Pengunduran Zack dan Mat Piah dan tindakan Zul Kapan keluar masuk Rimba Bara tidak buat dia patah semangat.

“Dalam Rock dan Rock Oo, dia nampak sangat tabah tetapi menerusi Rock Bro! kita dapat lihat dia juga manusia biasa. Secekal mana pun hatinya, Jojie akhirnya akur de­ngan gelojak jiwanya yang mahu hidup normal seperti orang lain. Jiwa–nya terasa kosong dan dia memeluk Islam.

“Watak ini sebenarnya wujud namun ia diwarnakan dan ditambah sedikit fiksyen agar penceritaan jadi lebih menarik. Adegan dia bercinta dengan Ella itu fiksyen.

“Untuk hidupkan watak ini, saya buat banyak penyelidikan. Saya ambil sikit daripada watak sebenar dan selitkan pengalaman sendiri membesar dengan muzik rock.

“Ketika saya bersekolah dulu, pengaruh muzik rock sangat besar dalam gaya hidup harian. Daripada fesyen, rambut sampai cara cakap, semua ikut rockers. Bezanya zaman saya bukan rock tangkap leleh, jadi untuk jayakan Rock Bro! yang menggambarkan era awal 90-an saya kena layan leleh,” katanya yang bakal mengarah filem KL Champion.

Sementara itu Pekin menyifatkan cabaran wataknya kali ini lebih besar berbanding Rock Oo berikutan jalan cerita lebih menjurus sisi peribadi anggota Rimba Bara.

Jika sebelum ini Slash tidak banyak cakap dan tenang, dalam Rock Bro penonton dapat melihat keperibadian sebenar karakter itu.

“Slash pemarah dan panas baran. Tekanan dihadapi Rimba Bara mempengaruhi Slash hingga gagal menyembunyikan keperibadian sebenarnya itu.

“Abang Mamat bukan hanya paparkan watak Slash ketika muda tetapi turut menyingkap sejarah hidupnya sejak bayi dan apa yang berlaku kepadanya ketika tua.

“Dalam filem ini saya kena praktis tiga lagu yang pernah dipopularkan kumpulan Search, Mega dan Lestari. Ia bukan mudah, apatah lagi saya bukanlah pemain gitar profesional.

“Saya hanya tempoh sebulan untuk khatam tiga lagu itu. Untuk menampakkan diri pemain gitar profesional, saya praktis empat hingga enam jam sehari. Satu lagi cabaran besar, saya kena nyanyi lagu Datuk Ramli Sarip.

“Nak buat penonton percaya dan rasa seolah-olah mereka berada di zaman era kebangkitan rock bukan senang. Saya sudah buat yang terbaik, menjadi atau tidak biarlah penonton yang menilai,” katanya.

Pekin yang bakal muncul dengan filem Tujuh, Juvana 2 dan 3, Rentas, Mat Motor, Ofilia 2, Munafik dan Desolasi berkata, antara sebab mengapa dia menerima tawaran Mamat kali ini kerana trilogi Rock satu-satunya karya menceritakan realiti kebangkitan arus muzik rock tanah air dan akan menjadi rujukan generasi muda. Ia seterusnya dianggap khazanah penting dalam industri perfileman tempatan.

“Rock Bro! adalah kesudahan Rock dan Rock Oo. Rugi kalau saya tolak. Lagi pun saya suka bekerja dengan abang Mamat dan pasukan produksinya. Mereka bukan calang-calang, semua berbakat besar dalam pelbagai bidang.

“Apatah lagi dapat berganding sekali lagi dengan guru saya, Khir. Dia bukan saja sifu malah kawan dan sudah saya anggap seperti abang. Dia banyak turunkan ilmu malah tahu kelebihan dan kelemahan saya.

“Jika lakonan saya tidak sampai, dia akan tegur dan sebelum memulakan penggambaran, kami akan berbincang,” katanya.

Dalam filem ini ada ramai otai akan tampil sebagai bintang undangan antaranya Datuk Ramli Sarip, Mus May, Datuk Hattan, Man Kidal dan Black Wings.

Pekin akui bertemu mereka yang menjadi antara penggerak industri rock pengalaman cukup berharga buat dirinya.

Rock Bro! yang baru selesai peng­gambaran Rabu lalu adalah kesinambungan Rock (2005) dan Rock Oo (2013) yang memaparkan kehidupan anggota kumpulan Rimba Bara yang berpecah dan bersatu semula kerana ingin terus gah dalam persada muzik tanah air.

Disampaikan menerusi kaca mata Jijoe, muzik rock berdepan zaman kejatuhan dengan kemasukan aliran muzik rap dan hip hop awal 90-an.

Rimba Bara yang sudah lama tidak membuat persembahan, menyara hidup dengan melakukan kerja sambilan dan menjayakan gig di tapak ekspo tani. Mereka dibayar dengan durian dan sayur-sayuran termasuklah petai dan terung daripada penganjur. Mereka hilang taring apabila Zul Kapan menyertai kumpulan rap 4URU.

Rimba Bara gigih meneruskan perjuangan dan masa sama Jijoe jatuh cinta dengan Ratu Rock, Ella. Jijoe terlalu menyayangi Ella hingga sanggup meninggalkan kehidupannya sebagai rockers dan menjadi kontraktor kelas F demi kehidupan lebih menjamin. Keputusan Jijoe membuatkan Rimba Bara semakin goyah hingga tercetus konflik antara anggota.

Filem terbitan bersama Grand Brilliance dan Enjit Semut Sdn Bhd ini akan menjengah pawagam seluruh negara pada 27 Oktober 2016. Selain Khir dan Pekin, filem ini turut dibintangi Sofi Jikan, Azmi Black, Kamarool Yusoff, Shawarni, Amy Juliet dan Juliana Iskandar.

Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar