Gambar Helikopter Nuri TUDM terhempas di SMK Balung Tawau


Kira-kira pukul 9.05 pagi sebuah helikopter Nuri milik TUDM dilaporkan terhempas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Tawau, Sabah.

Lima pelajar sekolah SMK Balung cedera dan dihantar ke Hospital Besar Tawau. Maklumat lanjut akan kami kongsikan dari semasa ke semasa.

Bunyi helikopter terbang rendah disusuli dentuman mengejutkan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, di sini, menyebabkan mereka menjerit ketakutan sebelum menyedari pesawat itu terhempas di kawasan sekolah.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, semua pelajar yang berada dalam kelas masing-masing panik hingga ada yang dilaporkan menyorok di bawah meja. Seorang kakitangan sekolah yang enggan dikenali berkata, dua dentuman kedengaran dalam tempoh singkat iaitu helikopter melanggar bumbung sekolah, disusuli terhempas di dewan terbuka menyebabkan struktur bumbung sekolah rosak teruk.

"Sejurus terhempas, serpihan dipercayai daripada struktur bumbung yang pecah berterbangan sehingga masuk ke bilik darjah menyebabkan lima pelajar cedera ringan," katanya kepada BH di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Difahamkan, ramai pelajar trauma dengan kejadian itu hingga ada yang menangis dan terpaksa ditenangkan oleh rakan dan guru. Polis sudah menutup kawasan sekolah itu dan pelajar diarah pulang atas faktor keselamatan, manakala siasatan lanjut berhubung punca kejadian dibuat oleh pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan semua anak kapal dan penumpang helikopter miliknya, yang membuat pendaratan cemas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, di Tawau pagi tadi, selamat.

Menurut kenyataan TUDM yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan menerusi laman sosial Twitter sebentar tadi, helikopter membawa 14 penumpang itu berlepas dari pangkalan pada jam 7.35 pagi bagi membuat latihan penerbangan harian biasa. Helikopter berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Tawau menuju Semporna.

"TUDM menghantar pasukan penyelamat ke lokasi insiden dan mengawal kawasan sebelum membawa keluar helikopter terbabit. "TUDM turut membuat penilaian ke atas kawasan insiden sebelum mengambil tindakan selanjutnya. TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," kata kenyataan itu. - BHarian








Catat Ulasan

 
Sejak 2009 - Kepala Bergetar